Rabu, 12 Mei 2010

KEPRIHATINAN DAN KEGIGIHAN SEORANG BAPA














Bergambar bersama cik di rumahnya pada 4 Mei 2010 sempena ulangtahun perkahwinan saya ke 25















Ini basikal tua, basikal jenis yang dipandu oleh cik saya, saya di belakang dan sekali sekala di depan - atas galang yang dililit kain (terutama waktu malam sebab takut hantu!!! kononnya)







Cik saya(panggilan saya kepada ayah) alhamdulillah masih sihat lagi dan tinggal di Kg Kubang Getah, Ketereh, Kelantan. Sekarang ni, separuh minggu ditemani oleh cucunya dan separuh lagi tinggal keseorangan. Umurnya lebih kurang 97 tahun. Dia kata umurnya semasa Banjir Besar (Bah Merah) pada tahun 1926, ia sudah bersunat semasa itu. Orang zaman dahulu umur bersunat ada yang sampai umur 15 tahun.

Alhamdulillah ingatan masih tajam dan idea masih bernas, mata masih boleh membaca dan mengajar Al Quran tanpa memakai cermin mata dan pendengarannya masih tajam.

Beliau mempunyai 3 orang anak semuanya lelaki, Abang yang sulong, umurnya 70an sudah lama pencen guru mempunyai 6 orang anak dan sudah ada cicit, abang yang kedua umur 59 tahun mempunyai 11 orang anak dan bekerja sendiri manakala saya yang bongsu umur sudah 51 tahun dan mempunyai 6 orang anak.

Sekarang ni cik saya sepenuh masa mengajar Al Quran, muridnya ada yang tua dan yang ramainya adalah anak-anak sekolah rendah. Beliau dapat bayaran saguhati bulanan dari kerajaan Kelantan. Duitnya dalam akaun tak pernah diambil. Tetapi semasa arwah emak masih ada, masih lagi dia pergi menoreh getah.

Cik saya ni mempunyai kegigihan dan berwawasan walaupun dia orang kampung. Kelebihan cik saya ni dia boleh membaca dan menulis jawi. Sebab tu saya juga boleh membaca dan menulis jawi semenjak sekolah rendah walaupun menteri pelajaran ketika itu (Khir Johari ) membuang pembelajaran tulisan jawi di sekolah menengah. Tapi cik saya sempat mengajar saya semasa di sekolah rendah.

Cik saya menghantar Abang sulong ke sekolah rakyat sehingga dapat menjadi guru sekolah rendah . Abang yang kedua dihantar ke sekolah inggeris di ketereh, dia sanggup menumpangkan abang saya di rumah satu keluarga di Ketereh bagi mencapai hasrat untuk menyekolahkan anaknya di sekolah inggeris.
Kemudian bayangkan dia sanggup kayuh basikal tua sejauh lebihkurang 7 km untuk menghantar saya ke sekolah Inggeris di Ketereh pula iaitu pada tahun 1966. Itulah kegigihan cik saya. Pada tahun 50an dan 60an kebanyakan jalan masih jalan tanah. Kalau musim hujan kami terpaksa bawa sebatang kayu untuk membuang selut tanah yang melekat di celah "mudguard" dan lidi basikal.


Cik saya terpaksa menghantar saya kesekolah inggeris sesi petang. Pukul 12 tgh sudah bersiap sedia menghantar dan 6.30 ptg terpaksa datang ambil kembali. Masa tu musim hujan bayangkan berapa lama nak sampai ke sekolah dan rumah kerana kerapkali terpaksa buang selut tanah di celah mudguard basikal. Oleh kerana saya sangat belas kasihan melihat keadaan cik saya bersusah payah terpaksa kayuh basikal menghantar dan mengambil saya, saya pun mencari helah dengan memberitahu emak dan cik saya, tak mahu sekolah di sekolah Inggeris kerana takut kepada kereta, memang sekolah rendah inggeris di tepi Jalan Raya. Saya sanggup berkorban belajar di sekolah melayu di kampung iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Kiat.





Pekerjaan tetap cik dan emak saya adalah menuai padi dibendang sendiri. Tapi saya lihat apabila siap sahaja musim menuai padi orang lain akan ambil separuh dari hasil tuaian. Saya tanya cik kenapa bagi separuh padi kepada orang. Dia memberitahu saya bahawa tanah bendang terpaksa digadai kepada orang lain untuk mendapatkan wang untuk pembiayaan sekolah abang saya. Oh betapa sedihnya dan terharunya saya, begitu sekali gigih dan usahanya untuk menyekolahkan kami. Sanggup menggadai harta.



Sebab itulah selepas keputusan SPM saya sangat dilema, hasrat dan cita-cita dihati sejak kecil ialah ingin menjadi seorang doktor. Apabila memikirkan kesusahan kedua ibubapa saya terpaksa mengorbankan cita-cita saya. Pada masa itu tiada sesiapa yang memberi pandangan dan motivasi untuk teruskan perjuangan di bidang ini walaupun ketika itu saya sudah berada di Kelas Matrikulasi di Sekolah Alam Syah . Rata-rata kawan-kawan sekelas di matrikulasi pada masa itu mengatakan bahawa bidang kedoktoran ini payah dan memakan masa yang lama. Akhirnya saya mengambil keputusan meninggal kelas matrikulasi di Alam Shah berhijrah ke UTM di mana saya adalah orang yang terakhir meninggalkan Kelas Matrik ini. Member-member lain sudah "cabut" lebih awal , dan saya memikirkan kursus doktor ini 6 tahun (+matrik) dan sekiranya gagal ditengah perjalanan akan menambahkan lagi beban ibu bapa. Alhamdulillah cita-cita saya ini dapat di teruskan oleh dua orang anak saya sekarang. InsyaAllah.


Saya fikir dan merenung jasa mereka berdua terhadap saya tidak boleh di hitung. Dia sekarang semakin tua. Mengerjakan haji bersamanya, sudah dibuat, ketika itu ia masih kuat dan boleh berjalan seorang diri pergi dan balik ke Masjidil Haram, walaupun jemaah Haji lain bimbang kerana dialah yang paling tua di kalangan rombongan jemaah haji kami. Dia tak pernah sesat dan hilang di Mekah walaupun ada jemaah haji yang lebih muda dan telah beberapakali datang ke Mekah masih lagi sesat dan terpaksa Mutawwif pergi mencari. Pernah isteri saya mengikutinya ke masjid kerana katanya dia tahu jalan yang lebih dekat ke Masjidil Haram berbanding laluan biasa.



Pada tahun 2004 sekali lagi saya membawa cik, emak dan Usamah pergi mengerjakan umrah. Ketika itu saya tak berpisah lagi dengannya. Saya menggunakan wheelchair untuk membawanya untuk tawaf dan saie. Saya merasakan ketika itu kalau ia minta saya dokongnya, saya sanggup kerana saya fikir apa yang telah mereka lakukan dalam menjaga dan berkorban untuk kami adik beradik tiada bandingan jasanya. Kalau nak di bandingkan saya dengan Uwais AlQarny sahabat Tabie oh cukup jauh sama sekali.



Uwais Al Qarny, hidup di zaman Rasulullah tetapi tak sempat bertemu Rasulullah. Dia seorang anak yatim dan miskin tetapi taat menjaga ibu yang tua, uzur dan lumpuh. Suatu hari ibunya memberitahunya bahawa ia ingin mengerjakan haji. Oleh kerana ia seorang miskin tidak mampu menyediakan perbelanjaan dan kelengkapan unta untuk membawa emaknya mengerjakan Haji. Kemudian Uwais mendapat ilham, dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan yang dah habis menyusu. Jadi, pada petang hari ia mendukung anak lembu naik ke atas bukit ke tempat pondok kecil yang dibuatnya. Pagi esoknya dia mendukung turun untuk memberi makan. Itulah yang di lakukan setiap hari. Ada seketikanya dia mendukung anak lembu mengelilingi bukit. Perlakuan Uwais ini di katakan orang dianya gila tetapi sebenarnya ia mempunyai niat yang baik iaitu untuk persediaan untuk membawa ibunya mengerjakan haji. Selepas 6 bulan anak lembu tersebut sudah menjadi 100kg. Oleh itu otot-otot tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mendokong lembu seberat 100kg turun dan naik bukit. Selepas 8 bulan setelah tiba musim haji ia memangku dan mendukung ibunya dari Yaman ke Mekah dengan kedua tangannya dan dibelakangnya dia membawa barang kelengkapan. Dia mendukung ibunya mengerjakan tawaf, saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Kemudian dia mendukung ibunya pulang semula ke Yaman dari Mekah. Oh tingginya ketaatan Uwais kepada ibunya. Oleh itu jika dia berdoa kepada Allah pasti dikabulkan. Sabda Rasulullah kepada Sayiddina Umar dan Sayiddina Ali " Suatu ketika, apabila kamu bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi"



Oleh kerana itulah jika dibanding saya dengan Uwais Al Qarny cukup jauh ibarat langi dengan bumi. Sehubungan dengan itu sebagai balasan saya terhadap kedua ibubapa, saya meletakkan hati sentiasa bersama dengan cik saya walaupun keadaan sebenar sekarang kami berjauhan dari negeri di Pantai Timur ke hujung selatan Negeri Johor. Begitu juga dengan arwah emak walaupun sudah hampir 4 tahun meninggalkan kami. Saya sentiasa berdoa untuk emak. Manakala dengan cik, saya mewajibkan diri saya sekurang-kurangnya sekali sebulan bertemu mata dengannya. Walaupun ia tidak memerlukan pemberian duit yang banyak dari kami kerana rezekinya disegi wang ringgit sentiasa ada. Yang kurang adalah suasana bersama, jadi saya perlu bersama untuk mendengar rasahatinya. Saya akan meluangkan masa dengannya, makan bersama, tidur bersama dan bangun qiamulail bersama.




Kebiasaannya apabila saya bersama dengannya, dia akan tanya berulangkali perkara-perkara yang dia minat dan seronok. Contoh baru-baru ni anak keempat saya mendapat anugerah duit dari Kerajaan Kelantan diatas kejayaan cemerlang dalam SPM 2009. Dia bertanya berulang kali berapa A yang diperolehi oleh anak saya. Apabila berulangkali pertanyaannya ini , saya teringat kisah burung murai dengan siput babi.

Dimana seorang anak bertanya kepada ayah tentang anak burung ....burung apa itu ayah?..burung murai.....apabila berulang kali anak bertanya...dia masih terus menjawab, burung murai sayang! dan terus meletak anaknya di atas bahu dan terus berjalan. Manakala di satu rumah seorang ayah yang sudah tua bertanya kepada anaknya, pokok bunga ni dimakan apa Man? Dimakan siput babi ayah!....tapi apabila si ayah bertanya berulang kali..akhir-akhirnya si anak menjawab.. DI MAKAN SIPUT LA BABI...! Oh jangan jadi beginilah anak-anak sekalian. Betapa remuknya hati ayah.

Cik saya ni sangat prihatin terhadap anak-anak lebihkurang sama dengan arwah emak. Tahun lepas sebelum saya ke Umrah dan ke Jordan, saya balik bertemu mata dan memohon restu cik sebelum bertolak ke Jordan dan Mekah. Pagi sebelum saya bertolak balik dengan flight ke JB, kami bangun sebelum pukul 4 pagi. Semasa saya solat, saya dapati cik saya tidak ada di atas rumah, biasanya dia akan solat juga. Selepas saya solat sebelum saya bertolak ke Air Port jam 5 pagi, dia menyerahkan satu bungkusan kecil yang mengandungi kulit manggis untuk saya mengubati penyakit buasir, dia tahu saya mengidap penyakit ini. Saya menitis air mata, memandangkan cik saya yang tua, bongkok dan bertongkat sanggup lagi turun dari rumah di waktu malam yang gelap (pukul 4 pagi) mencari kulit manggis untuk mengubati penyakit buasir saya. Begitulah prihatinnya dia terhadap saya. Keadaan begini mengingatkan saya kepada arwah emak saya, semasa saya batuk emak sanggup turun rumah tengah-tengah malam mencari daun ekor kucing untuk mengubati batuk saya yang batuk di tengah malam. Inilah keprihatinan mereka berdua terhadap anak-anak.Keprihatinan dan tidak mahu menyusahkan anak-anak antara cik dan arwah emak lebihkurang sama.

Dalam keadaan dia duduk berseorangan, beberapa sanak saudara dan kawan-kawan saya suruh saya tanya cik saya samada dia mahu cari pasangan hidup yang boleh menjaga dan memasak untuknya. Saya pun bertanya kepadanya tetapi dia menggeleng kepala tanda tak mahu. Dia kata " kalau cari yang tua nanti menyusahkan engkau pula, asyik dok sakit nanti, engkau yang susah asyik dok bawa ke hospital. Kalau cari yang muda aku pula tak larat, aku dah tua". Begitulah keadaan orangtua sangat tidak mahu menyusahkan anak-anak.

"YA ALLAH, AMPUNKAN DOSA EMAK DAN CIK AKU, BERILAH KESIHATAN YANG BAIK KEPADA CIK , LANJUTKAN USIANYA , AKU MASIH BELUM PUAS BERSAMANYA DAN MASIH TERLALU BANYAK JASANYA YANG BELUM TERBALAS"









































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan