Ahad, 25 April 2010

PENGORBANAN SEORANG IBU














Photo saya semasa mula menjejakkan kaki ke IPTA












Rumah ini di bina sebelum walimah untuk penempatan bonda dan ayahanda, di rumah inilah ibu yang tercinta meninggal dunia













Rumah kecil (pondok -lebihkurang 10x14 kaki per) ini adalah tempat saya tinggal bersama bonda dan ayahanda (bertiga)semasa saya di IPTA, sehingga sekarang belum di roboh sebagai tanda ingatan













BONDA ALLAHYARHAMAH GAYAH BT DAUD



1 Sept 2006 , sudah hampir 4 tahun pemergian emak saya iaitu kembali menemui Allah. Setelah terlantar hampir beberapa bulan di rumahnya di kampung Kubang Getah, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan kerana komplikasi jantung. Walaupun hampir 4 tahun telah berlalu tetapi mengingati pergobanannya terhadap kami sekeluarga dan keprihatianan terhadap keluarga kami, saya rasa masih baru dalam kehidupan seharian saya. Nostalgia ini di catat bagi mengingati kembali saya sebagai anak yang sentiasa menghargai pengorbanan seorang ibu walaupun ia seorang ibu kampung yang tidak tahu menulis dan membaca. Walaupun tidak tahu membaca dan menulis tetapi fasih dalam membaca dan mengajar Al Quran.

Saya masih mengingati bagaimana layanannya semasa saya di sekolah rendah bermula dari penyediaan makan pagi dengan hanya biskut tawar dan air teh tapi hampir pasti setiap pagi mesti makan pagi lebih dulu , dia sendiri akan menyikat rambut saya sejak darjah satu hingga darjah enam untuk memastikan anaknya dalam keadaan kemas dan berketrampilan walaupun anak kampung dari keluarga petani yang susah. Kemudian saya berjalan kaki ke sekolah hampir 3 km. Masa itu pergi sekolah dengan berbekal duit hanya 10 SEN sahaja iaitu 5 sen untuk beli nasi dan 5 sen untuk beli air minum atau kadang-kadang bawa bekal nasi yang disediakan oleh emak. Samalah bekal ini yang mereka bawa untuk ke bendang. Saya masih mengingati bagaimana tiba musim peperiksaan dia akan menyediakan telur ayam kampung dan buah badam untuk di makan.

Di dalam keadaan yang susah tapi penuh dengan layanan menjadikan saya seorang yang begitu prihatin terhadap kehidupan emak dan ayah, walaupun saya masih di sekolah rendah tetapi saya sudah boleh memasak nasi dan ikan singgang dengan menggunakan dapur kayu api untuk membolehkan mereka terus dapat makan bila balik dari sawah.


Pergorbananya terhadap kami sekeluarga masih menjadi ingatan saya bagaimana ia melayani dan menjaga anak kami atau cucunya seramai 6 orang dari anak sulung hinggalah ke bongsu. Ianya tidak pernah menolak apabila kami meminta pertolongan untuk menjaga anak atau meletak anak di rumahnya. Kami terpaksa hantar anak apabila aktiviti kami berdua bertembung dan tidak pernah mempersoal apa aktiviti kami buat.



Bagaimana ia menjaga anak sulung kami yang di kenali "buas"perkataan Kelantan yang bermaksud tidak boleh duduk diam. Bagaimana ia tidur bersama dengan cucu sulungnya dalam "pagar musang" yang kami tempah khas. Yang menempahnya adalah Tok Ki Terengganu. Pagar musang ni masih ada sehingga sekarang.

Begitu juga bagaimana ia menjaga anak kedua kami ketika lahir menghidapi penyakit kuning. Hampir sebulan ia sanggup menunggu di tepi sawah waktu panas pagi dengan menjemur cucunya supaya sembuh dari penyakit kuning. Alhamdulillah dengan kesungguhannya, anak kami sembuh dan tidak jadi tukar darah. Kerana pada masa itu kalau penyakit kuning yang serius apabila di bawa ke hospital akan di buat tukar darah. Kami pada masa itu memegang perinsip tidak mahu menukar darah anak kami dengan darah lain. Sehinggalah isteri saya kata bukan semua ibu sanggup dan boleh duduk rumah besan sampai sebulan , tapi "mak" dan "cik" boleh bersama-sama membantu kami. Kalau makan tengahari lauk budu mereka sama-sama berselera mengalas perut

Memang rapatnya hubungan hati emak saya dengan cik mertua saya ni, ia itu ia sempat bertemu kali terakhir beberapa jam sebelum mak meninggal dunia. Apabila cik mertua saya datang dari terengganu ke kelantan untuk menziarah beliau, cik terengganu tanya kenapa maksu tak pakai baju, ia jawab nak pakai baju 'cik' , itulah panggilan mesranya kepada cik mertua saya. Oleh kerana tak ada baju lain maka terpaksa cik pergi cari dengan adik ipar saya ke pasar ketereh iaitu 7km dari rumah saya di Kg Kubang Getah. Jadi emak saya memakai baju yang dibeli oleh besannya sehingga ia meninggal duniaiaitu hampir waktu magrib pada hari jumaat 1 September 2006.

Sebenarnya emak saya ini asalnya sangat anti orang Terengganu. Saya masih ingat ketika saya nak bertolak ke IPTA pesanan pertamanya . " Awe, kalau nak cari isteri nanti jangan cari ore Trengganu" Saya tanya kenapa mak, dia jawab " Ore trengganu kedekut dan sombong tengok tu, tu ...... ........dan tu" dia menyebut ada beberapa orang kampung saya yang kahwin dengan orang Terengganu. Saya pun tak tahu sejauh mana penilaiannya.

Tetapi apabila sampai masa nak dirikan Baitul Muslim, tengok-tengok sahabat saya mencadangkan orang Terengganu berdasarkan nilai-nilai Tarbiyah Islam. Bagi menjaga hati ibu saya, saya terpaksa solat dan berdoa berterusan sehinggalah saya balik berbincang dia dapat menerima calun menantu orang Terengganu dengan senang hati. Seingat saya, SAYA RASA TAK PERNAH MENGGURIS HATI IBU SAYA DALAM KEHIDUPAN SAYA, malah kami juga dapat menunaikan hajatnya supaya walimah di adakan sebelum beliau bertolak ke Mekah mengerjakan Umrah dan Haji selama 4 bulan termasuk berpuasa di Mekah. Keluarga isteri saya juga bersetuju dan mudah bertolak ansur walaupun semasa itu bakal isteri saya sekarang ni masih ada 2 paper lagi pada peperiksaan Akhir tahun 5.

Bagi membalas pergorbanan ibu dan bapa saya, saya dapatlah membina sebuah rumah kayu yang agak selesa sedikit untuk tempat tinggal kami semasa saya bekerja dan belum walimah. Dan saya juga dapat menghantarkan mereka ke Mekah selepas beberapa hari akad nikah.

Bagi mendapatkan kepuasan hati dan membalas JASA ibu bapa yang tidak ada nilai terhadap diri saya yang menjaga dan mendidik dari dalam perut sehinggalah lahir, bersekolah , bekerja dan berkahwin. Saya dan isteri membawa sekali lagi mereka ke Mekah bagi mengerjakan Haji bersama kami pada tahun 1995. Semasa perpisahan di airport KL sebab kami suami isteri balik ke Labuan kerana semua anak-anak di Labuan dijaga oleh cik mertua , emak dan cik(ayah saya) balik kekelantan, buat pertama kali saya lihat cik(ayah) menangis kerana berpisah dengan isteri saya yang di sayangi kerana melayannya dengan baik dan mesra di tanah suci Mekah.

Kemudian itu saya dan anak saya yang ketiga Usamah membawa mereka sekali lagi mengerjakan Umrah pada tahun 2004, tanda penghargaan kami sebagai balasan terhadap mereka.


Pada tahun 2006 bermulalah emak saya di datangi penyakit. Ketika itu saya memikirkan bagaimana untuk memberi tumpuan menjaganya dalam keadaan sakit ini, rasa ingin membawanya tinggal bersama di rumah saya di Kota Bharu bagi menjaga sepenuhnya kerana saya bekerja di Kota Bharu. Rumah saya di Kota Bharu jaraknya lebihkurang 16km , saya terpaksa berulangalik dari rumah emak saya .


Sehingga sekarang ni saya masih ingat nasihat staff bawahan saya " Boss tak boleh bawa emak boss dari kampung ke rumah boss di Kota Bharu, dia kepunyaan masyarakat kampung boss, mereka nak jaga dan ziarah. Kalau boss bawa ke rumah Kota Bharu ia akan terputus hubungan mereka dengan emak boss". Semasa emak saya terlantar dan tidak boleh bangun lagi, oleh itu saya membuat keputusan saya dan isteri balik sebelum subuh untuk mandikan dan bersihkan beliau.


Ada juga kami tidur menjaga di rumahnya. Walaupun keadaan sakit demikian dia tidak pernah mahu mengganggu saya tidur untuk meminta pertolongan, dia lebih sanggup panggil cik saya(panggilan untuk ayah) sebagai suaminya untuk meminta tolong. Sampai tahap begitu sekali dia tidak mahu menyusahkan kami dalam aktiviti harian.


Pada 31 Ogos 2006 kami terpaksa ke KL untuk mendaftar Along di CUMCS di Cyberjaya. Pada awal pagi 1 September 2006 iaitu hari jumaat kami sekeluarga bertolak balik ke Kelantan. Kami singgah sekejap di rumah sepupu di Padang Tengku, Pahang. Kami singgah sekejap sahaja kerani hati nak balik cepat ke Kelantan. Apabila kami sampai di Merapuh, abang saya sms bertanya saya berada di mana dan memaklumkan keadaan emak agak tenat. Kami sampai di Kelantan dan singgah sekejap di tempat Usamah di Maahad Tahfiz, Pulai Chondong dan kemudian terus ke rumah emak semasa itu jam 6 lebih petang.


Semasa kami sampai ramai sanak saudara dan jiran berada di rumah. Sebaik saja kami naik kerumah, emak panggil semua anak-anak kami yang berempat yang ada semasa itu untuk bersalam. Saya dan isteri terus melayan dan menjaganya. Saya dan isteri sempat bagi minum air zam-zam padanya. Suapan akhir dari kami untuknya. Kemudian saya membaca surah Yasin habis 1x, dengan hafalan surah Yasin ,Alhamdulillah dapat memudahkan pembacaan sambil melayannya. Begitu juga isteriku yang ku kasihi sempat membaca 1x lebih. Dalam keadaan kami berdua sedang melayan itulah malikul maut mengambil nyawanya, cuma kami berdua berada di sampingnya.


Walaupun rasa hiba dengan pemergian emak tapi saya tidak rasa terkilan dan rasa kepuasan kerana kami dapat bersama di samping emak sehingga kesaat-saat terakhir. Memang saya sentiasa berdoa kepada Allah agar kematiannya biarlah kami berada disamping dan saya akan memandikan jenazahnya, mensolatkannya dan memasukkanya ke dalam kubur.


OH EMAK.KU..... YA RABBI AMPUNLAH DOSA EMAK KAMI. MASUKLAH EMAK KAMI KE DALAM SYURGA JANNAH.

SATU RENUNGAN

Pengalaman dan perbincangan penulis dengan para ibu dan bapa tentang tingkahlaku anak-anak remaja dalam situasi dunia global dan ICT masa kini:

1. kurang dalam membantu ibubapa dalam kerja-kerja rumah

2.tingkahlaku kadang-kadang mengguris hati ibubapa

3. ada yang terlalu leka dengan internet dan komputer

4. ramai juga tidak mengikuti tarbiyah, dengan lain perkataan tidak menjadi pewaris

5. lemah dalam ibadah walaupun mahir dari segi kata-kata atau menulis
6. ada ibubapa yang tidak ambil berat breakfast anak-anak sebelum ke sekolah
7. anak-anak yang baik dan soleh perlulah memahami dan prihatin dengan ibubapa masing-masing, walaupun ibubapa sekarang sebahagiannya tidak nampak kesukaran disegi wang ringgit tapi mereka kesempitan disegi lain misalnya masa yang mana anak-anak sebenarnya boleh berperanan membantu dalam mengurus,memasak dan mengemas rumah mereka
8. ada anak-anak remaja perempuan sangat lemah dalam kemahiran asas seperti memasak dan menjahit, begitu juga anak-anak lelaki dalam pertukangan tangan.





























Tiada ulasan:

Catat Ulasan