Sabtu, 26 September 2009

BULAN TAMRIN
















Setiap tahun bulan Ramadhan akan datang dan pergi. Bulan yang penuh dengan barakah dan keistimewaan sebagaimana firman Allah dalam Al Quran Al Baqarah: 185

"(Beberapa hari yang ditentukan itu)ialah bulan Ramadhan, bulan didalamnya diturunkan(permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza(antara yang haq dan yang batil)"

Bulan ini hanyalah boleh dilakukan solat terawikh dan tidak bulan yang lain, bulan ini juga terdapat lailatul qadr iaitu malam mulia iaitu lebih baik dari seribu bulan. Bulan inilah di galakkan kita mempertingkatkan ibadah kita seperti memperbanyakkan membaca Al Quran, solat malam, qiyamulail dsb.




Inilah yang dikatakan bulan tamrin atau bulan latihan, untuk mempertingkatkan ibadah kita kepada Allah bagi mengharungi 11 bulan yang seterusnya. Bagi kita atau individu yang berada di landasan dakwah dan tarbiyah amat memerlukan kepada latihan ini dan bekalan bagi menghidup dan menyubur hati supaya ia sebati dalam kehidupan.

Ketahuilah bahawa syaitan sentiasa mengintai dan berusaha untuk menggoda anak cucu Nabi Adam supaya bersama-sama menjadi penghuni Neraka. Firman Allah " (Iblis) menjawab, 'kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus, Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang,dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur. Al - A'raf: 16 dan 17.




Oleh itu kita perlu sedar bahawa kita sentiasa di kelilingi musuh iaitu syaitan, maka sebagai insan yang selalu pelupa dan lalai hendaklah senantiasa mendekati Allah. Bila kita dekat dengan Allah maka kita dapat menjauhi musuh kita. Salah satu ibadah adalah tilawah Al Quran. Kita membaca Al Quran ibaratkan kita senantiasa berkomunikasi dengan Allah. Bila kita senantiasa berkomunikasi denganNya bermakna kita dekat dengan Allah SWT. Janganlah kita membiarkan hari-hari kehidupan kita tanpa berkomunikasi dengan Allah. Oleh itu kita hendaklah membaca, menghayati dan menghafal semampu yang mungkin setiap hari. Janganlah kita termasuk golongan orang yang rugi.




Alhamdulillah untuk saya(abah untuk anak-anak dan pak cik untuk anak-anak sahabat dan kawan) ramadhan tahun ini sampailah hajat dan cita-cita untuk mengkhatam pembacaan AL Quran dengan pembacaan dan penghayatan makna serentak. Sebelum ini hanya setakat khatam dengan pembacaan sahaja tetapi apabila kita memahami dan menghayati ayat-ayat Allah ini barulah rasa kenikmatan yang sebenarnya - Allah saja yang tahu. Dengan izin Allah SWT dapat mengkhatam pula di Masjidil Haram. Semoga Allah menambah kekuatan untuk ku. Umur ku sudah separuh abad hanya baru dapat mengecapi kelazatan sebenarnya dalam pembacaan Al Qur'an. Alangkah rasa ruginya.




Beruntunglah bagi mereka dan anak-anak yang memahami ,mahir dan menguasai Bahasa Arab akan dapat memahami dan menghayati Al Quran dan akan merasai kelazatan dan kenikmatan berkomunikasi dengan Allah SWT melalui pembacaan Al Quran.






Oleh itu saya dan abah nasihatkan untuk saudara-saudara dan anak-anak sekalian pelajarilah dan menguasai Bahasa Arab kerana dia Bahasa Al Quran. Ambil kesempatan dengan masa yang ada dan yang Allah kurniakan ini sebelum kita kembali kepadaNya. Janganlah kita kembali dengan bekalan yang kosong atau bekalan yang sedikit. Bacalah selalu Al Qur'an dan amalkan.




Firman Allah SWT " Dan kami turunkan (Al-Qur'an) itu dengan sebenarnya dan (Al Qur'an) itu turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami mengutus engkau(Muhammad) hanya sebagai pembawa berita gembira dan memberi peringatan. Dan Al Qur'an (Kami turunkan) beransur-ansur agar engkau(Muhammad) membacakannya kepada manusia perlahan-lahan dan kami menurunkannya secara bertahap"

(Al-Isra' 105 dan 106)


























Tiada ulasan:

Catat Ulasan