Selasa, 9 November 2010

RUMAHKU SYURGAKU

Itulah pertentangan dua roh untuk pertentangan dan

kesatuan dua jiwa dengan kesatuan. Ia adalah curahan

hujan jernih dari langit murni ke dalam kesucian alam,

membangkitkan kekuatan-kekuatan ladang yang penuh


berkat. -Perkahwinan, Kahlil Gibran-


Jalan Ke Syurga

Salam sejahtera buat teman bakal raja sehari. Semoga dalam RedhaNya sentiasa.
Aku menyatakan rasa syukur atas nikmah yang Allah beri padamu. Tika ini, saat ini engkau sedang menghitung hari. Menghitung hari untuk menjadi seorang suri. Semoga dalam jejak-jejak langkah terakhir bergelar isteri engkau tenang-tenang selalu. Aku juga pernah merasakannya. Semoga engkau akan bersangatan bahagianya, sepertimana aku bersangatan bahagianya.


Seperti petikan Ruqaiyya Waris Maqsod dalam buku beliau: A Muslim Marriage Guide[1]:-


If your marriage is happy and fulfilled, then no matter what troubles may beset you, no matter what hardships you are obliged to face as you pass along your road of life, no matter what sicknesses or distressing circumstances, you will always face them as if your back were against a protecting fortress, inside the walls of which you may set aside all the terrors and traumas for a while, and be loved.


Ya, perkahwinan sesuatu yang membahagiakan. Perkahwinan menyimpulkan segala ruang ibadah menjadi berganda. Cinta, belas, kasih, sabar dan semua sifat terpuji menjadi nilai tambah. Namun ia bukan mudah. Ya, bukan mudah mencipta rumahtangga yang menjadi syurga dunia. Namun di situ Islam mengajar beberapa panduan agar kelak perkahwinan kita disimbahi barakah melimpah.
Ia mithqhon gholizho. Ia akad yang berat. Akad di antara dua dimensi manusia yang berbeza. Dua hati. Memetrai perjanjian hidup bersama. Dengan menyatakan perkahwinan sebagai separuh dari agama, bukan kenyataan simplistik, malah memerlukan hebat usahanya.

“Hadis Nabi saw “Apabila sesorang hamba berkahwin, ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang lainnya”[2]

Nah, tawaran menarik bukan? Sungguh indah tawaran yang Allah beri. Namun pasti kerana ia bukan tugas yang mudah dalam penyempurnaan agama. Pada perkahwinan boleh bersatu dalamnya diibaratkan seluruh masalah dunia ATAU menenangkan dari seluruh masalah dan kekusutan dunia. Kerana perkahwinan itu SEPARUH agama. Besar sekali taksiran Islam untuk perkahwinan.

Seperti Ruqayya Maqsood mencurahkan pandangannya pada maksud sebahagian dari agama..[3]

But marriage is also a most demanding training ground of faith. By claiming it to be `half the religion’ the Blessed Prophet was not making an idle statement. When a human couple strive hard to get their marriage and family right in the eyes of God, they are indeed well on the road to Paradise.

Perkahwinan yang barakah bakal mencipta syurga dunia. Juga menempah syurga akhirah dengan izinNya.

Marriage Blues

Sebelum bergelar isteri, pasti jiwa resah lagi gundah rasanya. Itu biasa. Endahkan sahaja. Was-was itu dari syaitan. Ia bukan ilham apatah lagi suara hati. Perbanyakkan zikir dan munajah pada Allah. Adakah saat masa lagi yang engkau lebih membutuhkan Allah melainkan saat ini?

Sebelum melangkah kaki ke alam pernikahan ingin aku berkongsi beberapa perkara. Walaupun aku juga sendiri malah baru benar menjadi pengantin. Namun aku harap ada manfaat bersama.


1) Perbanyakkan solat taubat dan istighfar


Perkahwinan merupakan satu nikmah, satu anugerah menghalalkan fitrah. Suatu ibadah. Sebahagian agama. Suatu permulaan baru kepada kehidupan. Allah menjadikan pernikahan sebagai satu Rahmah buat hambaNya. Hendaknya mendepani Rahmah Allah, kita depani dengan taubah. Sucikan hati, jiwa dan ruh. Tunduk dan pohon keampuanan pada Allah. Jangan kiranya dosa-dosa lampau dan silam menghalang kita dari mendapat barakah pada pernikahan yang akan kita lalui. Dengan sungguh. Dan amat. Perbanyakkan solat taubah.


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Ar-Rum: 21)


2) Doa

Doa-doa selalu, agar Allah memimpin dan memudahkan segala urusan. Agar berkah dan dimudahkan segalanya. Doa juga agar suami kelak, yang lembut hati terhadap wanita kerana Nabi saw telah berpesan. Mereka yang paling baik, adalah mereka yang lemah lembut pada ahli keluarga mereka. Berdoalah agar dipermudahkan urusan majlis, dilimpahi barakah dan dimudahkan segala urusan menyesuaikan diri di antara satu sama lain. Doa juga agar apa yang engkau pilih, adalah yang terbaik di sisiNYA. Redha dengan apa yang DIA beri.


3) Membaca Buku & Menuntut Ilmu


Harus bagi wanita mendalami ilmu kekeluargaan dari sudut syariah, psikologi dansosiologi. Agar dapat menjalani kehidupan sebagai isteri dengan sebaiknya. Bab-bab seperti hukum-hukum syariah kekeluargaan, komunikasi berkesan, cara-cara menjadi isteri solehah, bab munakahat, pendidikan anak-anak perlulah didalami dengan lebih dalam dan jelas. Perbanyakkan bacaan artikel dan bacaan ilmiah yang sesuai. Carilah dan rujuklah mereka yang berpengalaman dan para Masyayeikh yang boleh diminta nasihah berhubung persediaan nikah. Ini sangat penting semasa pra-nikah. Persedian umum dalam ilmu Tauhid, sirah-sirah, fekah, akhlak dan bacaan Quran perlulah di dalami.[4]

Tetapi, usah dirisaukan jika tidak sempat mendalami semua jalur ilmu. Mempelajari ilmu itu berterusan. Memahami prospek perkahwinan itu juga satu pelajaran sepanjang kehidupan. Jesteru, jangan pernah berhenti dan teruskan meningkatkan ilmu dan pengetahuan. Semoga generasimu kelak, terdidik dan terpimpin rohani, emosi dan intelektual mereka.

4) Walimah barakah


Pastikan segala urusan penting berkenaan walimah selesai. Senarai jemputan, pengendalian majlis, persiapan makanan, pengaturcaraan. Semoga nanti, majlis disirami barakah yang melimpah. Semoga pakaian dan pengendalian sesuai dengan sunnah dan adab yang baik. Elakkan nyanyian-nyanyian, percampuran yang tidak sepatutnya, bertabarruj yang jahiliyyah. Kita memerlukan Allah dalam hidup kita, jesteru janganlah ditinggalkan Allah, dalam perkara yang sangat penting dalam hidup kita.

“Hai Nabi katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan istri-istri orang mukmin; hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu” (Al-Ahzab: 59).


Pemakaian rambut, bulu mata palsu, baju yang jarang dan ketat serta dandanan yang melebihi keperluan hendaklah dijauhi. Namun ulama’ mengharuskan melayani tetamu-tetamu selagi mana dalam batasan syara’.[5] Ini merupakan khilaf ulama’. Namun pendapat yang mengatakan harus tidak kurang kuat dalilnya. Semua dalil mencakup dalil naqli dari Al-Quran dan Sunnah, dan dalil aqli.


5) Sunnah Arusah


Di antara Sunnah digalakkan untuk dilakukan bersama, demi meraih barakah yang melimpah dan mengeratkan hati yang masih tepu usai akad.

i) Memakan Makanan/Minuman Yang Manis

Semoga dapat melaksanakan sunnah selepas nikah. Persiapkan susu dan kurma untuk diminum bersama selepas akad. Ini Sunnah saw.




Diriwayatkan dari Asma Asma’ binti Yazid binti as-Sakan radhiyallaahu ‘anha, beliau berkata:- “ Saya menghias ‘Aisyah untuk Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam. Setelah itu saya datangi dan saya panggil Baginda saw supaya menghadiahkan sesuatu kepada ‘Aisyah. Beliau pun datang lalu duduk di samping ‘Aisyah. Ketika itu Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam diberi segelas susu. Setelah beliau minum, gelas itu beliau suakan kepada ‘Aisyah. Tetapi ‘Aisyah menundukkan kepalanya dan malu-malu.” ‘Asma binti Yazid berkata: “Aku menegur ‘Aisyah dan berkata kepadanya, ‘Ambillah gelas itu dari tangan Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam!’ Akhirnya ‘Aisyah pun meraih gelas itu dan meminum isinya sedikit.[7]

Sunnah memakan benda-benda yang manis saat awal malam zafaf[8], jika dinisbah kepada hadis ini.

ii) Solat Sunat Bersama

Selesai akad yang mulia terpatri, solat dua rakaat sembah tanda syukur.[9]

Hadits dari Abu Waail.

Ia berkata, “Seseorang datang kepada ‘Abdullah bin Mas’ud radhiyallaahu ‘anhu, lalu ia berkata, ‘Aku menikah dengan seorang gadis, aku khawatir dia membenciku.’ ‘Abdullah bin Mas’ud berkata, ‘Sesungguhnya cinta berasal dari Allah, sedangkan kebencian berasal dari syaitan, untuk membenci apa-apa yang dihalalkan Allah. Jika isterimu datang kepadamu, maka perintahkanlah untuk melaksanakan shalat dua raka’at di belakangmu. Lalu ucapkanlah (berdo’alah):

“Ya Allah, berikanlah keberkahan kepadaku dan isteriku, serta berkahilah mereka dengan sebab aku. Ya Allah, berikanlah rezeki kepadaku lantaran mereka, dan berikanlah rizki kepada mereka lantaran aku. Ya Allah, satukanlah antara kami (berdua) dalam kebaikan dan pisahkanlah antara kami (berdua) dalam kebaikan.”

iii) Doa Ke Ubun-Ubun


Doa yang sunnah di baca suami ke atas ubun-ubunmu kelak, tanda permulaan kepada kehidupan yang akan membawa ke syurga Allah. Suamimu, duniamu. Suamimu, syurgamu. Suamimu, pemimpinmu.

Ketenangan dan barakah yang luar biasa hebatnya akan mengalir terus memasuk ruang hati dan jiwamu dengan sunnah pembacaan doa ini.

Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Apabila salah seorang dari kamu menikahi wanita atau membeli seorang budak maka peganglah ubun-ubunnya lalu bacalah ‘basmalah’ serta do’akanlah dengan do’a berkah seraya mengucapkan: ‘Ya Allah, aku memohon kebaikannya dan kebaikan tabiatnya yang ia bawa. Dan aku berlindung dari kejelekannya dan kejelekan tabiat yang ia bawa.’[10]


6) Persiapan Lain-lain


Lengkapkan dirimu dengan perkara asas kemahiran menguruskan rumahtangga. Bagaimana menggembirakan hati suami dengan masakan, layanan dan tata tertib yang lain. Pengurusan rumah, diri dan lain-lain. Janganlah dirisaukan jika engkau merasakan engkau belum mahir dan lengkap semuanya. Sesungguhnya jika engkau bertaqwa maka Allah akan memudahkan dan mengajarkanmu banyak perkara. Tanpa sedar. Ingin aku ceritakan secara ringkas perihal seorang sahabatku yang amat solehah. Dia mengatakan:-

Allah tidak mensyaratkan pandai masak untuk kahwin, namun persiapan taqwa untuk kahwin. Andai ada taqwa pasti Allah memudahkan urusan memahirkan diri

Lantas, atas dasar taqwa beliau membuat persiapan pra nikah. Dengan izin Allah sebelum bernikah beliau mahir dengan begitu cepat kemahiran memasak. Beliau berpegang kepada makna firman Allah:-

“Bertaqwalah pada Allah, nescaya Allah akan memeliharamu” (Al-Baqarah)


Umar Ibnul Aziz, Ibnu Kathir, Imam Qurtubi –Semoga Allah merahmati mereka kesemuanya menjelaskan maksud ayat ini. Sesiapa yang benar-benar bertaqwa maka Allah akan memudahkan dan mencerahkan hatinya untuk memahami apa yang dia depani dalam membezakan hak dan batil. Lafaz syarat : TAQWA dan jaza’(hasil): DIAJAR, sahabatku itu aplikasikan dalam aspek yang lebih luas iaitu taqwa untuk mendapatkan ilmu Allah dalam makna yang lebih holistik.


7) Komunikasi


Selain itu, berbincanglah dengan bakal suami atau keluarga bakal suami beberapa prinsip asas yang dipersetujui bersama untuk dilaksanakan semasa pernikahan, majlis dan selepas berkahwin. Berbincanglah dalam konteks yang syarie samada melalui perantara (keluarga) atau sebagainya dalam batas-batas yang diharuskan syara’ dan aman dari fitnah. Putuskan beberapa prinsip penting yang dipersetuji bersama demi memastikan agar perjalanan perkahwinan selari dan tiada percanggahan yang terlalu besar kelak yang boleh membawa kepada kemudaratan dan sebagainya. Raikan dan berlapang dada dalam ketidaksefahaman dan bersyukur di atas kesepakatan.

Kalau banyak bertanam puding,
Di mana busut di sana seminai,
Kalau bijak dalam berunding,
Di mana kusut di sana selesai.

7) Tawakkal

Tawakal dan tunduk dengan sungguh dalam penyerahanmu. Agar engkau tenang sepenuhnya. Redha atas jodoh yang Allah telah Allah takdirkan buatmu. Jangan difikirkan jika, apa, macam mana. Percayalah jika engkau menyerahkan segala urusanmu pada Allah. Allah akan menyelesaikannya buatmu. Segala yang berlegar di ruang minda, engkau serahkan pada Allah. Jika engkau tidak mengenali secara dalam (bercinta), menyintai bakal suamimu, usah di risaukan. Selepas berkahwin, pasti Allah mencampakkan perasaan cinta dalam hati kalian berdua. Begitulah yang terjadi pada diriku Bagaimanakah, macam manakah dan percayalah segala kerisauan dan ketidakpastian aku untuk menghadapi hidup bersama insan yang tidak dikenali, hakikatnya hanya mainan perasaan semata-mata.

Setelah bernikah dan hidup bersama, segala kerisauan ibarat angin semilir. Tiada kesan dan makna. Segalanya dimudahkan Allah. Segalanya diluaskan Allah. Jesteru, usah dirisaukan. Letakkan pergantungan sepenuhnya pada Allah. Jika ada kelemahan dan kekurangan, Allah akan membantumu memperbaikinya. Jika ada kekusutan, Allah akan melapangkan dadamu menguruskannya. Jika ada ketidakpastian, Allah akan mengurniakan suami hati yang lunak lagi elok budi bahasanya untuk meleraikan rasa hatimu.

Redha dan minta apa yang Allah inginkan buatmu, bukan apa yang engkau mahukan untuk dirimu kerana Allah tahu apa yang terbaik buatmu.

Ini pesan Syeikhku. Syeikh Yusuf al-Hasani.

Semoga bahagia berpanjangan buat kalian. Doa yang disunnahkan akanku titip pada hari pernikahan. Selamat melangkah ke alam baru.


alQasam
240509

Rujukan

Nasih Ulwan, Abdullah, Tarbiyatul Awlad.

al-Adawi, Mustafa, Feqh Tarbiyatul Abna’ waToifatun Min Nasaih al-Attiba’.

at-Tayyibi, Akashah Abdul Manan, As-Sifatul Matlubah Fil Al-Bintu Wazaujah.

Fauzil Adhim, Kado Pernikahan Untuk Isteriku.

Ruqayya Waris Maqsod, The Muslim Marriage Guide.

Risalah Minal Al-Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawas

Cahyadi Takariawan, Jalan Dakwah Aku Bernikah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan