Jumaat, 21 Mei 2010

BASHIRAH

Bashirah adalah merupakan salahsatu tingkatan HIKMAH. Bashirah adalah merupakan tingkatan keilmuan yang paling tinggi, hubungan ilmu pengetahuan dalam bashirah oleh hati seperti hubungan sesuatu yang dilihat oleh penglihatan.

Bashirah ini merupakan keistimewaan yang dimiliki oleh para sahabat dari umat-umat lainnya, kemudian dimiliki juga oleh orang-orang yang ikhlas dari kalangan para pengikut nabi SAW.

Allah SWT berfirman, "Katakanlah(Muhammad):'Inilah jalan(agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak(kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik"

Allah memerintahkan kepada RasulNya untuk memberitahukan kepada umatNya bahawa itu adalah sunnah atau jalannya. Iaitu dakwah untuk mengucapkan persaksian bahawa tidak tuhan selain Allah yang tidak ada yang menyekutuiNya. Mengajak untuk menyembah Allah dengan Bashirah, dengan seyakin-yakinnya, dengan ilmu, pengetahuan, dalil dan bukti.

Bashirah berdakwah di jalan Allah haruslah memenuhi 3 hal iaitu
1. Seorang dai haruslah benar-benar mengetahui ilmu yang didakwahnya.
2. Dai hendaklah mengetahui keadaan atau suasana orang-orang yang didakwahnya. Ia wajib mengetahui keadaan orang yang didakwahnya baik dari segi agama, sosial, keyakinan, saikologi, sosial, ilmu dan ekonomi mereka. Dari situ ia mengetahui apa yang benar-benar paling diperlukan oleh mereka.
3. Daie seharusnya mengetahui metode berdakwah.

RUJUKAN: KITAB - MENJADI DAIE YANG BERJAYA - DR SA'ID AL - QAHTHANI M/S 35

Selasa, 18 Mei 2010

ILMU DAN AMALAN

Ali bin Abi Talib berkata"Hai orang yang berilmu, amalkanlah ilmu yang kamu miliki kerana orang yang berilmu itu adalah orang yang mengamalkan ilmunya sehingga sesuai antara ilmu dan amalnya. Dimasa akan datang akan muncul GOLONGAN YANG MEMILIKI ILMU PENGETAHUAN, NAMUN BERTENTANGAN ANTARA AMALAN DENGAN ILMU YANG MEREKA MILIKI, ATAU MEREKA DUDUK DALAM HALAQAH KEMUDIAN SALING BERMEGAH-MEGAHAN, SAMPAI SESEORANG SANGGUP MEMARAHI ORANG YANG SAMA-SAMA DUDUK DALAM HALAQAH ATAU MAJLIS TERSEBUT. Maka perbuatan mereka tersebut tidak bernilai disisi Allah.

Abu Darda RA berkata " Seseorang tidak dikatakan bertakwa sehingga ia berilmu, dan tidak dikatakan sebagai orang berilmu sehingga ia mengamalkan ilmunya"

Sufyan berkata"Yang dimaksudkan dengan ilmu adalah menghafal, mengamalkan, mendengar, menyemak serta menyebar luaskannya"

Ada beberapa cara untuk mendapat ilmu antara lain:
1. Memohonkepada Allah dilimpahkan ilmu yang bermanafaat. Allah memerentah Nabi AW untuk selalu memohon kepadaNya agar ilmu di tambah. Allah berfirman " Dan katakanlah(Wahai Muhammad) ' Ya TuhanKu tambahkan ilmu pengetahuan kepadaku' Thaha:114

2. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan rindu akan ilmu serta mencintai dengan tulus terhadap ilmu seraya mencari keridhaan Allah disamping mencurah segala daya upaya untuk menuntut ilmu tentang Al Quran dan hadis.
Seorang lelaki datang kepada Abu Hurairah RA lalu lelaki itu berkata " Aku keinginan untuk belajar tapi aku kuatir akan mensia-siakan" Abu Hurairah berkata"Dengan meninggalkan mencari ilmu itu berarti kamu telah melakukan tindakan mensia-siakan ilmu"
Adakah kita rindu dan bersungguh-sungguh untuk hadir halaqah atau usrah? Atau lebih seronok tak hadir atau tak ada halaqah....Demi masa, sesungguh manusia ini sentiasa dalam kerugian......Al Asr

3. Menjauhkan diri dari seluruh perbuatan maksiat dengan cara bertakwa kepada Allah. Hal ini merupakan cara yang paling tepat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
"Wahai orang-orang yang beriman jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberi furqan(ilmu)" Al Anfal:29

4. Tidak bersikap sombong dan tidak merasa malu dalam mencari ilmu.
Aishah RA berkata " Sebaik-baik perempuan adalah perempuan Anshar! kerana mereka tidak pernah malu menadalami ilmu Deen"

5. Ikhlas dalam menuntut ilmu dan dalam mengamalkannya.
Rasulullah bersabda "Seseorang yang menuntut ilmu, di mana seharusnya ilmu tersebut di cari kerana Allah semata-mata, tetapi dia mencari ilmu tesebut untuk mendapatkan kesenangan dunia sahaja, maka niscaya ia tidak akan mendapatkan bau harum syurga pada hari kiamat nanti"

Rabu, 12 Mei 2010

KEPRIHATINAN DAN KEGIGIHAN SEORANG BAPA














Bergambar bersama cik di rumahnya pada 4 Mei 2010 sempena ulangtahun perkahwinan saya ke 25















Ini basikal tua, basikal jenis yang dipandu oleh cik saya, saya di belakang dan sekali sekala di depan - atas galang yang dililit kain (terutama waktu malam sebab takut hantu!!! kononnya)







Cik saya(panggilan saya kepada ayah) alhamdulillah masih sihat lagi dan tinggal di Kg Kubang Getah, Ketereh, Kelantan. Sekarang ni, separuh minggu ditemani oleh cucunya dan separuh lagi tinggal keseorangan. Umurnya lebih kurang 97 tahun. Dia kata umurnya semasa Banjir Besar (Bah Merah) pada tahun 1926, ia sudah bersunat semasa itu. Orang zaman dahulu umur bersunat ada yang sampai umur 15 tahun.

Alhamdulillah ingatan masih tajam dan idea masih bernas, mata masih boleh membaca dan mengajar Al Quran tanpa memakai cermin mata dan pendengarannya masih tajam.

Beliau mempunyai 3 orang anak semuanya lelaki, Abang yang sulong, umurnya 70an sudah lama pencen guru mempunyai 6 orang anak dan sudah ada cicit, abang yang kedua umur 59 tahun mempunyai 11 orang anak dan bekerja sendiri manakala saya yang bongsu umur sudah 51 tahun dan mempunyai 6 orang anak.

Sekarang ni cik saya sepenuh masa mengajar Al Quran, muridnya ada yang tua dan yang ramainya adalah anak-anak sekolah rendah. Beliau dapat bayaran saguhati bulanan dari kerajaan Kelantan. Duitnya dalam akaun tak pernah diambil. Tetapi semasa arwah emak masih ada, masih lagi dia pergi menoreh getah.

Cik saya ni mempunyai kegigihan dan berwawasan walaupun dia orang kampung. Kelebihan cik saya ni dia boleh membaca dan menulis jawi. Sebab tu saya juga boleh membaca dan menulis jawi semenjak sekolah rendah walaupun menteri pelajaran ketika itu (Khir Johari ) membuang pembelajaran tulisan jawi di sekolah menengah. Tapi cik saya sempat mengajar saya semasa di sekolah rendah.

Cik saya menghantar Abang sulong ke sekolah rakyat sehingga dapat menjadi guru sekolah rendah . Abang yang kedua dihantar ke sekolah inggeris di ketereh, dia sanggup menumpangkan abang saya di rumah satu keluarga di Ketereh bagi mencapai hasrat untuk menyekolahkan anaknya di sekolah inggeris.
Kemudian bayangkan dia sanggup kayuh basikal tua sejauh lebihkurang 7 km untuk menghantar saya ke sekolah Inggeris di Ketereh pula iaitu pada tahun 1966. Itulah kegigihan cik saya. Pada tahun 50an dan 60an kebanyakan jalan masih jalan tanah. Kalau musim hujan kami terpaksa bawa sebatang kayu untuk membuang selut tanah yang melekat di celah "mudguard" dan lidi basikal.


Cik saya terpaksa menghantar saya kesekolah inggeris sesi petang. Pukul 12 tgh sudah bersiap sedia menghantar dan 6.30 ptg terpaksa datang ambil kembali. Masa tu musim hujan bayangkan berapa lama nak sampai ke sekolah dan rumah kerana kerapkali terpaksa buang selut tanah di celah mudguard basikal. Oleh kerana saya sangat belas kasihan melihat keadaan cik saya bersusah payah terpaksa kayuh basikal menghantar dan mengambil saya, saya pun mencari helah dengan memberitahu emak dan cik saya, tak mahu sekolah di sekolah Inggeris kerana takut kepada kereta, memang sekolah rendah inggeris di tepi Jalan Raya. Saya sanggup berkorban belajar di sekolah melayu di kampung iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Kiat.





Pekerjaan tetap cik dan emak saya adalah menuai padi dibendang sendiri. Tapi saya lihat apabila siap sahaja musim menuai padi orang lain akan ambil separuh dari hasil tuaian. Saya tanya cik kenapa bagi separuh padi kepada orang. Dia memberitahu saya bahawa tanah bendang terpaksa digadai kepada orang lain untuk mendapatkan wang untuk pembiayaan sekolah abang saya. Oh betapa sedihnya dan terharunya saya, begitu sekali gigih dan usahanya untuk menyekolahkan kami. Sanggup menggadai harta.



Sebab itulah selepas keputusan SPM saya sangat dilema, hasrat dan cita-cita dihati sejak kecil ialah ingin menjadi seorang doktor. Apabila memikirkan kesusahan kedua ibubapa saya terpaksa mengorbankan cita-cita saya. Pada masa itu tiada sesiapa yang memberi pandangan dan motivasi untuk teruskan perjuangan di bidang ini walaupun ketika itu saya sudah berada di Kelas Matrikulasi di Sekolah Alam Syah . Rata-rata kawan-kawan sekelas di matrikulasi pada masa itu mengatakan bahawa bidang kedoktoran ini payah dan memakan masa yang lama. Akhirnya saya mengambil keputusan meninggal kelas matrikulasi di Alam Shah berhijrah ke UTM di mana saya adalah orang yang terakhir meninggalkan Kelas Matrik ini. Member-member lain sudah "cabut" lebih awal , dan saya memikirkan kursus doktor ini 6 tahun (+matrik) dan sekiranya gagal ditengah perjalanan akan menambahkan lagi beban ibu bapa. Alhamdulillah cita-cita saya ini dapat di teruskan oleh dua orang anak saya sekarang. InsyaAllah.


Saya fikir dan merenung jasa mereka berdua terhadap saya tidak boleh di hitung. Dia sekarang semakin tua. Mengerjakan haji bersamanya, sudah dibuat, ketika itu ia masih kuat dan boleh berjalan seorang diri pergi dan balik ke Masjidil Haram, walaupun jemaah Haji lain bimbang kerana dialah yang paling tua di kalangan rombongan jemaah haji kami. Dia tak pernah sesat dan hilang di Mekah walaupun ada jemaah haji yang lebih muda dan telah beberapakali datang ke Mekah masih lagi sesat dan terpaksa Mutawwif pergi mencari. Pernah isteri saya mengikutinya ke masjid kerana katanya dia tahu jalan yang lebih dekat ke Masjidil Haram berbanding laluan biasa.



Pada tahun 2004 sekali lagi saya membawa cik, emak dan Usamah pergi mengerjakan umrah. Ketika itu saya tak berpisah lagi dengannya. Saya menggunakan wheelchair untuk membawanya untuk tawaf dan saie. Saya merasakan ketika itu kalau ia minta saya dokongnya, saya sanggup kerana saya fikir apa yang telah mereka lakukan dalam menjaga dan berkorban untuk kami adik beradik tiada bandingan jasanya. Kalau nak di bandingkan saya dengan Uwais AlQarny sahabat Tabie oh cukup jauh sama sekali.



Uwais Al Qarny, hidup di zaman Rasulullah tetapi tak sempat bertemu Rasulullah. Dia seorang anak yatim dan miskin tetapi taat menjaga ibu yang tua, uzur dan lumpuh. Suatu hari ibunya memberitahunya bahawa ia ingin mengerjakan haji. Oleh kerana ia seorang miskin tidak mampu menyediakan perbelanjaan dan kelengkapan unta untuk membawa emaknya mengerjakan Haji. Kemudian Uwais mendapat ilham, dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan yang dah habis menyusu. Jadi, pada petang hari ia mendukung anak lembu naik ke atas bukit ke tempat pondok kecil yang dibuatnya. Pagi esoknya dia mendukung turun untuk memberi makan. Itulah yang di lakukan setiap hari. Ada seketikanya dia mendukung anak lembu mengelilingi bukit. Perlakuan Uwais ini di katakan orang dianya gila tetapi sebenarnya ia mempunyai niat yang baik iaitu untuk persediaan untuk membawa ibunya mengerjakan haji. Selepas 6 bulan anak lembu tersebut sudah menjadi 100kg. Oleh itu otot-otot tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mendokong lembu seberat 100kg turun dan naik bukit. Selepas 8 bulan setelah tiba musim haji ia memangku dan mendukung ibunya dari Yaman ke Mekah dengan kedua tangannya dan dibelakangnya dia membawa barang kelengkapan. Dia mendukung ibunya mengerjakan tawaf, saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Kemudian dia mendukung ibunya pulang semula ke Yaman dari Mekah. Oh tingginya ketaatan Uwais kepada ibunya. Oleh itu jika dia berdoa kepada Allah pasti dikabulkan. Sabda Rasulullah kepada Sayiddina Umar dan Sayiddina Ali " Suatu ketika, apabila kamu bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi"



Oleh kerana itulah jika dibanding saya dengan Uwais Al Qarny cukup jauh ibarat langi dengan bumi. Sehubungan dengan itu sebagai balasan saya terhadap kedua ibubapa, saya meletakkan hati sentiasa bersama dengan cik saya walaupun keadaan sebenar sekarang kami berjauhan dari negeri di Pantai Timur ke hujung selatan Negeri Johor. Begitu juga dengan arwah emak walaupun sudah hampir 4 tahun meninggalkan kami. Saya sentiasa berdoa untuk emak. Manakala dengan cik, saya mewajibkan diri saya sekurang-kurangnya sekali sebulan bertemu mata dengannya. Walaupun ia tidak memerlukan pemberian duit yang banyak dari kami kerana rezekinya disegi wang ringgit sentiasa ada. Yang kurang adalah suasana bersama, jadi saya perlu bersama untuk mendengar rasahatinya. Saya akan meluangkan masa dengannya, makan bersama, tidur bersama dan bangun qiamulail bersama.




Kebiasaannya apabila saya bersama dengannya, dia akan tanya berulangkali perkara-perkara yang dia minat dan seronok. Contoh baru-baru ni anak keempat saya mendapat anugerah duit dari Kerajaan Kelantan diatas kejayaan cemerlang dalam SPM 2009. Dia bertanya berulang kali berapa A yang diperolehi oleh anak saya. Apabila berulangkali pertanyaannya ini , saya teringat kisah burung murai dengan siput babi.

Dimana seorang anak bertanya kepada ayah tentang anak burung ....burung apa itu ayah?..burung murai.....apabila berulang kali anak bertanya...dia masih terus menjawab, burung murai sayang! dan terus meletak anaknya di atas bahu dan terus berjalan. Manakala di satu rumah seorang ayah yang sudah tua bertanya kepada anaknya, pokok bunga ni dimakan apa Man? Dimakan siput babi ayah!....tapi apabila si ayah bertanya berulang kali..akhir-akhirnya si anak menjawab.. DI MAKAN SIPUT LA BABI...! Oh jangan jadi beginilah anak-anak sekalian. Betapa remuknya hati ayah.

Cik saya ni sangat prihatin terhadap anak-anak lebihkurang sama dengan arwah emak. Tahun lepas sebelum saya ke Umrah dan ke Jordan, saya balik bertemu mata dan memohon restu cik sebelum bertolak ke Jordan dan Mekah. Pagi sebelum saya bertolak balik dengan flight ke JB, kami bangun sebelum pukul 4 pagi. Semasa saya solat, saya dapati cik saya tidak ada di atas rumah, biasanya dia akan solat juga. Selepas saya solat sebelum saya bertolak ke Air Port jam 5 pagi, dia menyerahkan satu bungkusan kecil yang mengandungi kulit manggis untuk saya mengubati penyakit buasir, dia tahu saya mengidap penyakit ini. Saya menitis air mata, memandangkan cik saya yang tua, bongkok dan bertongkat sanggup lagi turun dari rumah di waktu malam yang gelap (pukul 4 pagi) mencari kulit manggis untuk mengubati penyakit buasir saya. Begitulah prihatinnya dia terhadap saya. Keadaan begini mengingatkan saya kepada arwah emak saya, semasa saya batuk emak sanggup turun rumah tengah-tengah malam mencari daun ekor kucing untuk mengubati batuk saya yang batuk di tengah malam. Inilah keprihatinan mereka berdua terhadap anak-anak.Keprihatinan dan tidak mahu menyusahkan anak-anak antara cik dan arwah emak lebihkurang sama.

Dalam keadaan dia duduk berseorangan, beberapa sanak saudara dan kawan-kawan saya suruh saya tanya cik saya samada dia mahu cari pasangan hidup yang boleh menjaga dan memasak untuknya. Saya pun bertanya kepadanya tetapi dia menggeleng kepala tanda tak mahu. Dia kata " kalau cari yang tua nanti menyusahkan engkau pula, asyik dok sakit nanti, engkau yang susah asyik dok bawa ke hospital. Kalau cari yang muda aku pula tak larat, aku dah tua". Begitulah keadaan orangtua sangat tidak mahu menyusahkan anak-anak.

"YA ALLAH, AMPUNKAN DOSA EMAK DAN CIK AKU, BERILAH KESIHATAN YANG BAIK KEPADA CIK , LANJUTKAN USIANYA , AKU MASIH BELUM PUAS BERSAMANYA DAN MASIH TERLALU BANYAK JASANYA YANG BELUM TERBALAS"









































































Ahad, 25 April 2010

PENGORBANAN SEORANG IBU














Photo saya semasa mula menjejakkan kaki ke IPTA












Rumah ini di bina sebelum walimah untuk penempatan bonda dan ayahanda, di rumah inilah ibu yang tercinta meninggal dunia













Rumah kecil (pondok -lebihkurang 10x14 kaki per) ini adalah tempat saya tinggal bersama bonda dan ayahanda (bertiga)semasa saya di IPTA, sehingga sekarang belum di roboh sebagai tanda ingatan













BONDA ALLAHYARHAMAH GAYAH BT DAUD



1 Sept 2006 , sudah hampir 4 tahun pemergian emak saya iaitu kembali menemui Allah. Setelah terlantar hampir beberapa bulan di rumahnya di kampung Kubang Getah, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan kerana komplikasi jantung. Walaupun hampir 4 tahun telah berlalu tetapi mengingati pergobanannya terhadap kami sekeluarga dan keprihatianan terhadap keluarga kami, saya rasa masih baru dalam kehidupan seharian saya. Nostalgia ini di catat bagi mengingati kembali saya sebagai anak yang sentiasa menghargai pengorbanan seorang ibu walaupun ia seorang ibu kampung yang tidak tahu menulis dan membaca. Walaupun tidak tahu membaca dan menulis tetapi fasih dalam membaca dan mengajar Al Quran.

Saya masih mengingati bagaimana layanannya semasa saya di sekolah rendah bermula dari penyediaan makan pagi dengan hanya biskut tawar dan air teh tapi hampir pasti setiap pagi mesti makan pagi lebih dulu , dia sendiri akan menyikat rambut saya sejak darjah satu hingga darjah enam untuk memastikan anaknya dalam keadaan kemas dan berketrampilan walaupun anak kampung dari keluarga petani yang susah. Kemudian saya berjalan kaki ke sekolah hampir 3 km. Masa itu pergi sekolah dengan berbekal duit hanya 10 SEN sahaja iaitu 5 sen untuk beli nasi dan 5 sen untuk beli air minum atau kadang-kadang bawa bekal nasi yang disediakan oleh emak. Samalah bekal ini yang mereka bawa untuk ke bendang. Saya masih mengingati bagaimana tiba musim peperiksaan dia akan menyediakan telur ayam kampung dan buah badam untuk di makan.

Di dalam keadaan yang susah tapi penuh dengan layanan menjadikan saya seorang yang begitu prihatin terhadap kehidupan emak dan ayah, walaupun saya masih di sekolah rendah tetapi saya sudah boleh memasak nasi dan ikan singgang dengan menggunakan dapur kayu api untuk membolehkan mereka terus dapat makan bila balik dari sawah.


Pergorbananya terhadap kami sekeluarga masih menjadi ingatan saya bagaimana ia melayani dan menjaga anak kami atau cucunya seramai 6 orang dari anak sulung hinggalah ke bongsu. Ianya tidak pernah menolak apabila kami meminta pertolongan untuk menjaga anak atau meletak anak di rumahnya. Kami terpaksa hantar anak apabila aktiviti kami berdua bertembung dan tidak pernah mempersoal apa aktiviti kami buat.



Bagaimana ia menjaga anak sulung kami yang di kenali "buas"perkataan Kelantan yang bermaksud tidak boleh duduk diam. Bagaimana ia tidur bersama dengan cucu sulungnya dalam "pagar musang" yang kami tempah khas. Yang menempahnya adalah Tok Ki Terengganu. Pagar musang ni masih ada sehingga sekarang.

Begitu juga bagaimana ia menjaga anak kedua kami ketika lahir menghidapi penyakit kuning. Hampir sebulan ia sanggup menunggu di tepi sawah waktu panas pagi dengan menjemur cucunya supaya sembuh dari penyakit kuning. Alhamdulillah dengan kesungguhannya, anak kami sembuh dan tidak jadi tukar darah. Kerana pada masa itu kalau penyakit kuning yang serius apabila di bawa ke hospital akan di buat tukar darah. Kami pada masa itu memegang perinsip tidak mahu menukar darah anak kami dengan darah lain. Sehinggalah isteri saya kata bukan semua ibu sanggup dan boleh duduk rumah besan sampai sebulan , tapi "mak" dan "cik" boleh bersama-sama membantu kami. Kalau makan tengahari lauk budu mereka sama-sama berselera mengalas perut

Memang rapatnya hubungan hati emak saya dengan cik mertua saya ni, ia itu ia sempat bertemu kali terakhir beberapa jam sebelum mak meninggal dunia. Apabila cik mertua saya datang dari terengganu ke kelantan untuk menziarah beliau, cik terengganu tanya kenapa maksu tak pakai baju, ia jawab nak pakai baju 'cik' , itulah panggilan mesranya kepada cik mertua saya. Oleh kerana tak ada baju lain maka terpaksa cik pergi cari dengan adik ipar saya ke pasar ketereh iaitu 7km dari rumah saya di Kg Kubang Getah. Jadi emak saya memakai baju yang dibeli oleh besannya sehingga ia meninggal duniaiaitu hampir waktu magrib pada hari jumaat 1 September 2006.

Sebenarnya emak saya ini asalnya sangat anti orang Terengganu. Saya masih ingat ketika saya nak bertolak ke IPTA pesanan pertamanya . " Awe, kalau nak cari isteri nanti jangan cari ore Trengganu" Saya tanya kenapa mak, dia jawab " Ore trengganu kedekut dan sombong tengok tu, tu ...... ........dan tu" dia menyebut ada beberapa orang kampung saya yang kahwin dengan orang Terengganu. Saya pun tak tahu sejauh mana penilaiannya.

Tetapi apabila sampai masa nak dirikan Baitul Muslim, tengok-tengok sahabat saya mencadangkan orang Terengganu berdasarkan nilai-nilai Tarbiyah Islam. Bagi menjaga hati ibu saya, saya terpaksa solat dan berdoa berterusan sehinggalah saya balik berbincang dia dapat menerima calun menantu orang Terengganu dengan senang hati. Seingat saya, SAYA RASA TAK PERNAH MENGGURIS HATI IBU SAYA DALAM KEHIDUPAN SAYA, malah kami juga dapat menunaikan hajatnya supaya walimah di adakan sebelum beliau bertolak ke Mekah mengerjakan Umrah dan Haji selama 4 bulan termasuk berpuasa di Mekah. Keluarga isteri saya juga bersetuju dan mudah bertolak ansur walaupun semasa itu bakal isteri saya sekarang ni masih ada 2 paper lagi pada peperiksaan Akhir tahun 5.

Bagi membalas pergorbanan ibu dan bapa saya, saya dapatlah membina sebuah rumah kayu yang agak selesa sedikit untuk tempat tinggal kami semasa saya bekerja dan belum walimah. Dan saya juga dapat menghantarkan mereka ke Mekah selepas beberapa hari akad nikah.

Bagi mendapatkan kepuasan hati dan membalas JASA ibu bapa yang tidak ada nilai terhadap diri saya yang menjaga dan mendidik dari dalam perut sehinggalah lahir, bersekolah , bekerja dan berkahwin. Saya dan isteri membawa sekali lagi mereka ke Mekah bagi mengerjakan Haji bersama kami pada tahun 1995. Semasa perpisahan di airport KL sebab kami suami isteri balik ke Labuan kerana semua anak-anak di Labuan dijaga oleh cik mertua , emak dan cik(ayah saya) balik kekelantan, buat pertama kali saya lihat cik(ayah) menangis kerana berpisah dengan isteri saya yang di sayangi kerana melayannya dengan baik dan mesra di tanah suci Mekah.

Kemudian itu saya dan anak saya yang ketiga Usamah membawa mereka sekali lagi mengerjakan Umrah pada tahun 2004, tanda penghargaan kami sebagai balasan terhadap mereka.


Pada tahun 2006 bermulalah emak saya di datangi penyakit. Ketika itu saya memikirkan bagaimana untuk memberi tumpuan menjaganya dalam keadaan sakit ini, rasa ingin membawanya tinggal bersama di rumah saya di Kota Bharu bagi menjaga sepenuhnya kerana saya bekerja di Kota Bharu. Rumah saya di Kota Bharu jaraknya lebihkurang 16km , saya terpaksa berulangalik dari rumah emak saya .


Sehingga sekarang ni saya masih ingat nasihat staff bawahan saya " Boss tak boleh bawa emak boss dari kampung ke rumah boss di Kota Bharu, dia kepunyaan masyarakat kampung boss, mereka nak jaga dan ziarah. Kalau boss bawa ke rumah Kota Bharu ia akan terputus hubungan mereka dengan emak boss". Semasa emak saya terlantar dan tidak boleh bangun lagi, oleh itu saya membuat keputusan saya dan isteri balik sebelum subuh untuk mandikan dan bersihkan beliau.


Ada juga kami tidur menjaga di rumahnya. Walaupun keadaan sakit demikian dia tidak pernah mahu mengganggu saya tidur untuk meminta pertolongan, dia lebih sanggup panggil cik saya(panggilan untuk ayah) sebagai suaminya untuk meminta tolong. Sampai tahap begitu sekali dia tidak mahu menyusahkan kami dalam aktiviti harian.


Pada 31 Ogos 2006 kami terpaksa ke KL untuk mendaftar Along di CUMCS di Cyberjaya. Pada awal pagi 1 September 2006 iaitu hari jumaat kami sekeluarga bertolak balik ke Kelantan. Kami singgah sekejap di rumah sepupu di Padang Tengku, Pahang. Kami singgah sekejap sahaja kerani hati nak balik cepat ke Kelantan. Apabila kami sampai di Merapuh, abang saya sms bertanya saya berada di mana dan memaklumkan keadaan emak agak tenat. Kami sampai di Kelantan dan singgah sekejap di tempat Usamah di Maahad Tahfiz, Pulai Chondong dan kemudian terus ke rumah emak semasa itu jam 6 lebih petang.


Semasa kami sampai ramai sanak saudara dan jiran berada di rumah. Sebaik saja kami naik kerumah, emak panggil semua anak-anak kami yang berempat yang ada semasa itu untuk bersalam. Saya dan isteri terus melayan dan menjaganya. Saya dan isteri sempat bagi minum air zam-zam padanya. Suapan akhir dari kami untuknya. Kemudian saya membaca surah Yasin habis 1x, dengan hafalan surah Yasin ,Alhamdulillah dapat memudahkan pembacaan sambil melayannya. Begitu juga isteriku yang ku kasihi sempat membaca 1x lebih. Dalam keadaan kami berdua sedang melayan itulah malikul maut mengambil nyawanya, cuma kami berdua berada di sampingnya.


Walaupun rasa hiba dengan pemergian emak tapi saya tidak rasa terkilan dan rasa kepuasan kerana kami dapat bersama di samping emak sehingga kesaat-saat terakhir. Memang saya sentiasa berdoa kepada Allah agar kematiannya biarlah kami berada disamping dan saya akan memandikan jenazahnya, mensolatkannya dan memasukkanya ke dalam kubur.


OH EMAK.KU..... YA RABBI AMPUNLAH DOSA EMAK KAMI. MASUKLAH EMAK KAMI KE DALAM SYURGA JANNAH.

SATU RENUNGAN

Pengalaman dan perbincangan penulis dengan para ibu dan bapa tentang tingkahlaku anak-anak remaja dalam situasi dunia global dan ICT masa kini:

1. kurang dalam membantu ibubapa dalam kerja-kerja rumah

2.tingkahlaku kadang-kadang mengguris hati ibubapa

3. ada yang terlalu leka dengan internet dan komputer

4. ramai juga tidak mengikuti tarbiyah, dengan lain perkataan tidak menjadi pewaris

5. lemah dalam ibadah walaupun mahir dari segi kata-kata atau menulis
6. ada ibubapa yang tidak ambil berat breakfast anak-anak sebelum ke sekolah
7. anak-anak yang baik dan soleh perlulah memahami dan prihatin dengan ibubapa masing-masing, walaupun ibubapa sekarang sebahagiannya tidak nampak kesukaran disegi wang ringgit tapi mereka kesempitan disegi lain misalnya masa yang mana anak-anak sebenarnya boleh berperanan membantu dalam mengurus,memasak dan mengemas rumah mereka
8. ada anak-anak remaja perempuan sangat lemah dalam kemahiran asas seperti memasak dan menjahit, begitu juga anak-anak lelaki dalam pertukangan tangan.





























Rabu, 3 Februari 2010

MULIANYA SEORANG PENDAKWAH

(KEMASKINI BAHAN 6 APRIL 2010-21 RABIUL AKHIR 1431)

Perjalanan di atas dunia ini hanya sementara. Di mana kita habiskan umur kita yang sementara ini. Adakah kita termasuk golongan orang rugi yang seperti yang di sebut oleh Allah SWT dalam surah Al Asr: ayat 2

"Sungguh, manusia berada dalam kerugian" atau termasuk dalam golongan yang di sebut dalam surah Al-Humazah: ayat 2-3

"yang mengumpul harta dan menghitung-hitungnya, di(manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalnya"

Wahai saudara ku, anak-anak ku campaklah jiwamu di jalan Allah. Tetapkanlah di jalanNya. Janganlah cari alasan yang tidak syarie untuk menjauhi atau untuk tidak hadir(tidak istiqamah) dalam halaqah/usrah. Sekiranya kita longgar dengan halaqah/usrah, maka hati kita longgar dengan jemaah. Bila hati longgar dengan jemaah maka kita akan longgar dengan Islam. Bila kita longgar dengan Islam, maka kemana kita......atau akan hanyut dengan keduniaan?
"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui" Surah Al Ankabut:ayat 64.

Di mana kita berada samada di rumah, di kolej, di pejabat, di pasar dan di mana saja di atas bumi Allah ini kita hendaklah meletakkan diri ini atau melebelkan diri kita sebagai pendakwah. Jadilah kerja utama kita dalam kehidupan ini adalah dakwah dan tarbiyah, pekerjaan keduniaan kita adalah sebagai wasilah saja. Barulah kita tidak tergolong orang yang rugi.

Allah memuliakan sesiapa yang berjalan di jalan dakwah kepada Allah, Dia mengurniakan kedudukan dan mengangkat tempat mereka di martabat yang tertinggi iaitu:

1. Pendakwah ialah sebaik-baik manusia.

Berdasarkan firman Allah dalam surah Al Imran: ayat 110

" Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah(buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah( dengan sebenar-benar iman)"

2. Pendakwah ialah saksi yang memberi keterangan kepada manusia.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah: ayat 143
"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadukan kamu(wahai ummat Muhammad)satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia( tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu"

Mereka akan menjadi saksi di hari Kiamat nanti bahwa mereka telah menyampaikan risalah Islam, menegakkan neraca keadilan dan meletakkan perspektif yang sahih bersumberkan risalah Islam yang abadi untuk seluruh bangsa.

3. Pendakwah ialah golongan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Berdasarkan kepada firman Allah SWT surah Al Imran:104

" Dan hendaklah ada diantara kamu satu ummat yang menyeru(berdakwah) kepada kebajikan(mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada yang salah(buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya"

Mereka berjaya di dunia kerana mereka melaksanakan manhaj Allah Azza wa Jalla dalam dakwah, jihad dan kerja di jalan Islam. Dengan itu mereka memperolehi setinggi-tinggi tingkatan kemegahan, kegemilangan, kempimpinan dan kemuliaan yang besar.

Mereka yang berjaya di akhirat kerana mereka menyampaikan risalah di dunia, menunaikan amanah, menasihati ummat dan berjihad di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Oleh itu mereka berkelayakan memperolehi nikmat yang kekal abadi dalam majlis yang benar(syurga) di sisi Allah yang Maha Agung pemerentahanNya lagi Maha Berkuasa mengurniakan apa sahaja.

4. Pendakwah adalah manusia terbaik percakapannya.

Berdasarkan ayat Allah SWT surah Fushshilat:33

" Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada(mengesakan dan mematuhi perentah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata ' Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam( yang berserah bulat-bulat kepada Allah)

Sedarlah para pendakwah hendaklah memperbanyakkan perbualan tentang Islam, bukan banyak berbual tentang keduniaan atau kebendaan yang boleh melalaikan hati. Bila hati lalai ia banyak terikat dengan dunia dan akan lupa kepada Hari Akhirat.

5. Pendakwah adalah pewaris para Nabi.

Berdasarkan hadis riwayat Abu Dawud, at Tarmizi, an Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad dan dikatakan shohih oleh Ibnu Hibban dan Al Hakim. Rasulullah SAW bersabda: Para ulama adalah pewaris para nabi.

6. Penghuni langit dan bumi memohon ampun untuk para pendakwah.

Ini berdasarkan hadis riwayat at-Tarmizi daripada Abu Umamah dalam bentuk marfu':
"Sesunggunnya Allah, malaikatNya dan penghuni langit dan bumi sehinggalah seekor semut dalam lubangnya dan ikan paus dilaut, semuanya berselawat kepada orang yang mengajar manusia kebaikan"

Selawat daripada Allah adalah rahmat, daripada malaikat adalah permohonan ampun dan daripada hamba ALlah adalah doa. Kedudukan ini jarang sekali diperolehi kecuali oleh mereka yang berkecimpung dalam dakwah dan berjalan di jalan petunjuk, pembaikan dan penyampaian.

7. Ganjaran Pendakwah tidak terputus.

Muslim dan para Pengarang Kitab Sunan meriwayatkan daripada Nabi SAW, Baginda besabda "Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk, baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya. Tanpa mengurangkan ganjaran mereka sedikitpun"

Para pendakwah memperolehi kedudukan begini kerana mereka berjaya merubah akal dan jiwa manusia. Mereka membawa hidayah yang berjaya meperbaiki umat dan bangsa.

Ganjaran yang diperolehi tidak terbatas untuk peribadi mereka sahaja kerana menyampaikan perinsip dakwah, bahkan turut diperolehi oleh sesiapa sahaja yang menyebabkan mereka mendapat petunjuk dan menjadi baik.

8. Usaha para pendakwah memberi petunjuk adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Al Bukhari meriwayatkan daripada Ali k.r.m daripada Nabi SAW. Baginda bersabda " Demi Allah, Allah memberi petunjuk melalui kamu kepada seorang lelaki adalah lebih baik untuk kamu daripada kamu mempunyai humr an-Niam(unta merah - orang arab bermegah dengannya kerana keagungan dan nilainya yang tinggi)"

Dalam riwayat yang lain:

"Lebih baik untuk kamu daripada seluruh kawasan di mana matahari terbit dan terbenam"

Dapatkanlah Bisikan dari Ilahi dari sepertiga malam terakhir.

Sabtu, 2 Januari 2010

WAJIBKANLAH DIRI KITA SENTIASA BERADA DALAM HALAQAH ATAU USRAH




(KEMASKINI PADA 2 JANUARI 2010)
Kaata-kata Iman As Syahid Hasan Al Banna mengenai halaqah atau usrah iaitu

" Wahai saudaraku, sistem usrah sangat bermanafaat bagi kita dan berguna bagi da'wah. Dengan daya dan kekuatan dari Allah SWT, sistem ini akan mampu menghimpun kalangan anggota ikhwan yang tulus, memudahkan hubungan antara mereka, mengerahkan mereka kepada teladan atau mithali dalam da'wah, memperkukuhkan ikatan persatuan mereka dan mengangkat persaudaraan mereka dari tutur kata-kata dan TEORI ke tingkat perlaksanaan atau operasi"

Halaqah atau usroh adalah satu istilah yang ada hubunganya dengan dunia pendidikan, khususnya pendidikan atau pengajaran Islam(tarbiyah Islamiyah). Dalam halaqah individu dibentuk supaya menjadi manusia yang beriman dan beramal soleh. Manusia di cetak dengan Islam yang sebenarnya. Bukan Islam hanya pada nama atau ilmiyah sahaja tetapi Islam yang hidup dalam kehidupan. Di terjemah dan bergerak dalam kehidupan mereka. Akhlak mereka terbimbing, mempunyai jiwa yang rabbani yang tunduk dan patuh hanyasenya Allah SWT sahaja.

Mengapa ada yang sudah culas(tidak commited) dengan halaqah terutama individu yang duduk dalam landasan dakwah. Mungkin mereka sudah terjebak dengan perkara berikut:

1. Terjebak sebagai rutin kehidupan tidak jelas sebagai satu kewajipan dan tidak jelas halatuju.
2. Sibuk dengan aktiviti da'wah umum atau ammah yang lebih terserlah dan glamour dimata masyarakat.
3. Sibuk dan hanyut dengan kehidupan duniawi seperti dengan urusan bisness, karier dan tugas harian atau pelajaran masing-masing
4. Mungkin terpengaruh dengan bilangan yang ramai dan sudah rasa tidak penting lagi tentang tarbiyah hati.
5. Sudah merasai dan mendapat bisikan halus bahawa halaqah atau usrah tidak perlu lagi dalam kehidupan mereka.
6. Merasai sudah cukup ilmu dan tarbiyah yang dilalui.
7. Terjebak dengan zon selesa.

Wahai manusia, sahabat-sahabat ku, anak-anak dan pelajar-pelajar sekalian tanamlah dalam jiwa kita bahawa halaqah atau usroh itu adalah satu perkara yang wajib dalam kehidupan seorang mukmin berdasarkan perkara berikut:
1. Kaedah syarak iaitu "Tidak terlaksana yang wajib itu hanya melalui jalan itu maka jalan itu menjadi wajib".

Pembentukan daulah Islamiyah adalah wajib dan selagi tidak wujud maka menjadi satu kewajipan ke arah itu. Oleh itu segala jalan-jalan ke arah untuk melahirkan daulah Islamiyah adalah wajib di ikuti dan dilaksanakankan dan tidak akan terlepas tanggungan yang ada pada setiap individu. Kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti. Kalau kita cuai apakah jawapan kita?

2. Merupakan satu Sunnah Rasul sebab Rasulullah SAW sentiasa membina para sahabatnya dalam majlis zikir atau halaqah. Selama hidupnya Rasulullah SAW selalu membina halaqah samada di Mekah atau di Madinah.

Kita duduk dalam majlis halaqah atau zikir kita akan mendapat 4 perkara sebagaimana sabda Rasulullah SAW iaitu "SESUATU KAUM(KELOMPOK MANUSIA) TIDAKLAH BERKUMPUL DI SATU RUMAH(MASJID) DARIPADA RUMAH-RUMAH ALLAH, SAMBIL MEMBACA ALQURAN, SALING MEMPERBETULKAN BACAAN DAN MEMAHAMI KANDUNGANNYA, KECUALI AS SAKINAH(SATU MAKHLUK ALLAH TAALA YANG PADANYA TERDAPAT RAHMAT DAN KETENANGAN, SERTA DITEMANI OLEH PARA MALAIKAT) AKAN TURUN KEPADA MEREKA DAN MEREKA DISELUBUNGI OLEH RAHMAT, MEREKA JUGA DILINGKUNGI OLEH PARA MALAIKAT SERTA DISEBUT DAN DIPUJI OLEH ALLAH DIKALANGAN(PARA MALAIKAT) YANG ADA DISISINYA".

Ganjaran kita berhalaqah untuk zikrullah, kita akan dapat 4 perkara iaitu:

1. As Sakinah(satu makhluk Allah Taala yang padanya terdapat rahmat dan ketenangan, serta ditemani oleh para malaikat) turun keatas mereka.

Hadith Sohih Bhukari dan Muslim diriwayatkan daripada al Bara bin Azib RA katanya " Seorang lelaki sedang membaca surah Al Kahfi, disisinya terdapat seekor kuda. Lalunya sepotong awan meliputinya lalu berligar dan menghampirinya. Kudanya mula melarikan diri daripada awan itu. Setelah masuk waktu pagi beliau datang menemui Nabi SAW, lalu menyebut kejadian itu kepada Baginda SAW. Lantas Baginda SAW bersabda " Itulah as Sakinah, Ia turun kerana bacaan Al Quran"

2.Mereka diselubungi oleh rahmat.

Al Hakim meriwayatkan daripada Hadis Salman RA "Sesungguhnya beliau berada dalam suatu kumpulan yang sedang berzikir kepada Allah Taala. Tiba-tiba Rasulullah SAW lalu berhampiran mereka dan bertanya: Apakah yang telah kamu perkatakan? Sesungguhnya saya telah melihat rahmat turun keatas kamu, lalu saya ingin menyertai kamu"

3.Para malaikat melingkungi mereka.

Dalam hadis Abu Hurairah RA " Lalu para malaikat melingkungi mereka dengan sayap-sayap mereka sehingga sampai ke langit dunia"

4.Allah Taala menyebut perihal meraka kepada para malaikat yang disisinya.

Dalam Shohih Bukhari dan Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah dari Nabi Rasulullah SAW bersabda " Allah Azza wa jalla berfirman: Aku disisi sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya(dengan pengampunan, taufik, hidayah dan pemeliharaan) ketika dia menyebut dan mengingatiKu. Jika dia menyebutKu dalam satu kumpulan(orang beriman), Aku menyebutnya(dengan memujinya) dalam kumpulan(malaikat) yang lebih baik daripada kumpulan itu"

Halaqah/usrah perlu dirancang untuk diikuti seumur hidup(madal Hayah) oleh sesorang manusia. Hal ini tidak ada kata berhenti atau berihat dalam mempelajari Islam. Selagi nafas masih ada, mempelajari Islam tetap perlu dilakukan. Rasulullah SAW bersabda " Tuntulah ilmu mulai dari buaian sampai ke liang lahat". Yang berubah hanya tempat tinggal kita yang disesuai dengan kefahaman dan amalan terhadap Islam.

Oleh itu fikirlah sahabat-sahabat, ibu-ibu dan anak-anak sekalian di mana kita berada kita perlu wajibkan diri kita dan duduk dalam halaqah. Kita perlu kepada Islam, maka kita perlu kepada jemaah, maka kita perlu pada usrah/halaqah, inilah hubung kait kita dengan Islam. Adakah kita benar-benar komited dengan Islam seperti yang kita anuti?

Firman Allah Taala dalam surah Asy-Syura ayat 20 " Barang siapa mengkehendaki keuntungan di Akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barangsiapa mengkehendaki di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya(keuntungan dunia) tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat"

Ahad, 27 Disember 2009

PANGGILAN HAJI


Sekarang ini jemaah haji telah pulang dari Mekah dan ada yang dalam proses kembali ke tanah air masing. Mengerjakan haji adalah merupakan salahsatu rukun Islam, menjadi kewajipan setiap muslim sekurang sekali seumur hidup.

Firman Allah SWT surah AlHajj ayat 27-28 " Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki atau mengendarai setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh. Agar mereka akan menyaksikan berbagai manafaat untuk mereka, dan agar mereka menyebut nama Allah pada bebrapa hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Dia berikan kepada mereka berupa haiwan ternak. Maka makanlah sebahagian darinya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir"

Oleh itu sahabat-sahabatku dan saudara-saudaraku bersegerakanlah untuk mengerjakan haji setelah ada kemampuan. Janganlah alasan kengkangan masa dan urusan kerja dunia menjadi halangan kita untuk mengerjakan haji. Sekiranya belum kemampuan hendaklah berusaha kearah itu dengan sesungguh hati, InsyaAllah Allah akan mengurniakan rezeki dan permudahkan untuk menyahut PANGGILAN HAJI. Dalam perjalanan hidup kita, kita tidak ketahui bila PANGGILAN ILLAHI akan menjemput kita.....akan bersambung pengalaman saya pertama kali umrah ke Mekah.