Isnin, 27 September 2010

MALANGNYA NASIB SEORANG IBU.....

MALANGNYA NASIB SEORANG IBU.....
Posted by DR Mohd Ariff B. Abd Rashid at 10:18 AM


Kesah ini memang benar-benar berlaku.Disuatu pagi saya merawat seorang perempuan tua , berjalan perlahan-lahan menggunakan sebatang tongkat kayu. Wajahnya sangat uzur, keletihan dan jangkaan umur kira-kira 75 - 80 tahun.Saya melayan dia dengan baik sehingga selesai rawatan.
" Makcik datang dengan siapa ? tanya saya dengan ringkas.
" Makcik datang seorang aje doktor, makcik tumpang kereta orang kampung.. " jawabnya dengan nada sayu.
Saya merenung wajahnya yang sangat uzur, berjalan pun hampir tidak mampu.Seolah-olah disebalik wajahnya yang tua itu tersembunyi seribu satu rahsia.Oleh kerana tiada pesakit lain, perbualan kami semakin rancak.
" Makcik tiada anak ke ? " tanya saya
" Ada, tapi dia benci makcik, anak-anak dia pun di ajar untuk membenci makcik..." dia menjawab dengan suara yang sayu. Sebak dadanya.

Saya tersentak mendengar jawapannya, terkejut, tidak pernah terbayang difikiran saya seorang ibu yang telah sanggup berkorban apa jua yang ada demi untuk menjaga dan mendidik anaknya sehingga besar panjang sanggup membencinya. Seorang ibu yang sanggup tak tidur demi untuk menjaga anak apabila sakit. Seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya digigit walaupun oleh seekor nyamuk. Seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya menangis kerana kelaparan...MasyaAllah Seorang ibu yang tak pernah rasa jemu menyuapkan makanan ke dalam mulut anak semasa kecil. Tidak pula pernah merasa jijik untuk menyuci najis dipunggungnya. Saya terus mendengar dia bercerita lagi..

" Doktor tau....bila sampai waktu makan, dia (anaknya) hulurkan makanan yang telahpun sejuk dengan muka yang masam, macam bagi makan kepada seekor kucing. ....makcik nak telan nasi pun tak mampu...dia benci sangat pada makcik, doktor..." Airmatanya mengalir membasahi pipi...sayu...(Disaat menulis kenangan ini pun saya tak mampu untuk menahan airmata dari mengalir) . Suaranya lemah sekali..pilu..

Saya tanya dia kenapa sampai jadi begitu sekali..
" Dia kata makcik tak adil membahagikan harta. Anak-anak makcik dah buat keputusan, siapa yang dapat tapak rumah, maka dialah yang kena jaga emak. Kemudian dia kata tapak rumah tu sedikit sahaja, tak adil..sejak tinggal bersamanya makcik cukup derita. Anak-anaknya dilarang untuk manja dengan makcik malah dia suruh agar menjauhi makcik.." jelasnya.

Lantas saya tanya dia macam mana dia nak balik. Dia kata nak naik teksi. Untuk mendapatkan teksi dia terpaksa berjalan kira-kira 100 meter dari klinik saya. MasyaAllah ..saya lihat dia nak berjalan keluar dari bilik rawatanpun hampir tidak mampu. Berjalan perlahan-lahan dengan bertongkat. Mana mungkin seorang anak mampu melihat ibunya sendiri yang sakit merangkak untuk mendapat rawatan. Sebagai manusia yang mempunya hati dan perasaan tidak akan membiarkan seorang yang sangat uzur tanpa dibantu. Apatah lagi ibu yang melahir dan membelai kita semenjak dari kecil lagi. Tidak masuk akal dan sukar untuk dipercayai.

Penyusunan Allah memang sentiasa indah. Disaat itu tiada pesakit lain yang ingin berjumpa saya. Saya pun menawar diri untuk menghantarnya pulang.
" Makcik..mari saya hantar makcik pulang...makcik tak boleh jalan jauh...makcik sakit..."

Dia hanya mengikut saja arahan saya tanpa bantahan. Saya pimpin tangannya. Hati saya terlalu sebak.Ingin menjerit rasanya,ingin saya menangis semahu-mahunya...Hanya Allah yang tahu...Bila saya pimpin tangannya, saya merasakan sungguh-sungguh seolah-olah makcik itu sebagai ibu saya sendiri.Kenapakah manusia sanggup melakukan semua ini kepada ibu sendiri hanya kerana secebis harta dunia, sedangkan api neraka yang amat dahsyat sedang menanti kita kerana derhaka..

Setelah mengambil ubat, saya pun menhantar makcik itu pulang kerumahnya. Rumahnya jauh didalam kawasan kampung, jalannya agak sempit walaupun telah di tar, dikawasan sawah padi. Akhirnya saya sampai di persimpangan kecil. Dia minta saya diturunkan dia disitu. Saya pimpin tangannya keluar dari kereta dengan penuh rasa belas. Kira-kira 50 meter dari situ saya dapat melihat sebuah rumah kayu yang sederhana besarnya. Yang menarik perhatian saya, saya juga dapat melihat seorang lelaki dalam empat puluhan sedang mencuci sebuah kereta Proton Saga.

" Siapa tu makcik...." tanya saya

" Itulah dia anak makcik yang makcik cerita tadi.." jawabnya dengan sayu..

MasyaAllah....terkejutnya saya...Ini bukan kesah sebuah drama TV yangmana skripnya boleh kita karang semahu kita. Tapi ini adalah sebuah realiti kehidupan. Bukankah salah satu tanda hari hampir kiamat adalah apabila ibu-ibu melahirkan tuan-tuannya ? Sama-samalah kita jadikan iktibar.

Ingatlah : Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibubapa kita semasa mereka masih hidup, jangan sekali-kali menyakiti hati mereka, belailah mereka sepertimana mereka telah membelai kita dengan penuh rasa kasihsayang sejak kecil lagi. Apabila mereka telah kembali kepada Allah, pintu untuk kita berbakti dan memohon ampun telah tertutup, walaupun kita mengalirkan airmata darah sekalipun. Ya Allah..Ampunilah dosa-dosa kami..Ameen.

DI TULIS OLEH DR MOHD ARIF ABDUL RASHID, KELINIK EHSAN KETEREH, KELANTAN

Rabu, 22 September 2010

KHASIAT BUAH KURMA

Khasiat buah kurma
.by Tazkirah on Thursday, August 19, 2010 at 9:28am.


Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.



Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.



Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud : "Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar 'Ajwah' dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".



Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Terdapat juga di dalam al-Qur'an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa 'Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 : Tafsirnya : "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak. (Surah Maryam : 25)



Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur'an dan hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.



Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.



Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud : "Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air. (Hadis riwayat Ahmad)



Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.



Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma : Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.



Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.



Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala.





*

Dicopy dari Blog Mufti Brunei http://www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/dis98/h_fruit.htm