Rabu, 3 Februari 2010

MULIANYA SEORANG PENDAKWAH

(KEMASKINI BAHAN 6 APRIL 2010-21 RABIUL AKHIR 1431)

Perjalanan di atas dunia ini hanya sementara. Di mana kita habiskan umur kita yang sementara ini. Adakah kita termasuk golongan orang rugi yang seperti yang di sebut oleh Allah SWT dalam surah Al Asr: ayat 2

"Sungguh, manusia berada dalam kerugian" atau termasuk dalam golongan yang di sebut dalam surah Al-Humazah: ayat 2-3

"yang mengumpul harta dan menghitung-hitungnya, di(manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalnya"

Wahai saudara ku, anak-anak ku campaklah jiwamu di jalan Allah. Tetapkanlah di jalanNya. Janganlah cari alasan yang tidak syarie untuk menjauhi atau untuk tidak hadir(tidak istiqamah) dalam halaqah/usrah. Sekiranya kita longgar dengan halaqah/usrah, maka hati kita longgar dengan jemaah. Bila hati longgar dengan jemaah maka kita akan longgar dengan Islam. Bila kita longgar dengan Islam, maka kemana kita......atau akan hanyut dengan keduniaan?
"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui" Surah Al Ankabut:ayat 64.

Di mana kita berada samada di rumah, di kolej, di pejabat, di pasar dan di mana saja di atas bumi Allah ini kita hendaklah meletakkan diri ini atau melebelkan diri kita sebagai pendakwah. Jadilah kerja utama kita dalam kehidupan ini adalah dakwah dan tarbiyah, pekerjaan keduniaan kita adalah sebagai wasilah saja. Barulah kita tidak tergolong orang yang rugi.

Allah memuliakan sesiapa yang berjalan di jalan dakwah kepada Allah, Dia mengurniakan kedudukan dan mengangkat tempat mereka di martabat yang tertinggi iaitu:

1. Pendakwah ialah sebaik-baik manusia.

Berdasarkan firman Allah dalam surah Al Imran: ayat 110

" Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah(buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah( dengan sebenar-benar iman)"

2. Pendakwah ialah saksi yang memberi keterangan kepada manusia.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah: ayat 143
"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadukan kamu(wahai ummat Muhammad)satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia( tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu"

Mereka akan menjadi saksi di hari Kiamat nanti bahwa mereka telah menyampaikan risalah Islam, menegakkan neraca keadilan dan meletakkan perspektif yang sahih bersumberkan risalah Islam yang abadi untuk seluruh bangsa.

3. Pendakwah ialah golongan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Berdasarkan kepada firman Allah SWT surah Al Imran:104

" Dan hendaklah ada diantara kamu satu ummat yang menyeru(berdakwah) kepada kebajikan(mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada yang salah(buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya"

Mereka berjaya di dunia kerana mereka melaksanakan manhaj Allah Azza wa Jalla dalam dakwah, jihad dan kerja di jalan Islam. Dengan itu mereka memperolehi setinggi-tinggi tingkatan kemegahan, kegemilangan, kempimpinan dan kemuliaan yang besar.

Mereka yang berjaya di akhirat kerana mereka menyampaikan risalah di dunia, menunaikan amanah, menasihati ummat dan berjihad di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Oleh itu mereka berkelayakan memperolehi nikmat yang kekal abadi dalam majlis yang benar(syurga) di sisi Allah yang Maha Agung pemerentahanNya lagi Maha Berkuasa mengurniakan apa sahaja.

4. Pendakwah adalah manusia terbaik percakapannya.

Berdasarkan ayat Allah SWT surah Fushshilat:33

" Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada(mengesakan dan mematuhi perentah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata ' Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam( yang berserah bulat-bulat kepada Allah)

Sedarlah para pendakwah hendaklah memperbanyakkan perbualan tentang Islam, bukan banyak berbual tentang keduniaan atau kebendaan yang boleh melalaikan hati. Bila hati lalai ia banyak terikat dengan dunia dan akan lupa kepada Hari Akhirat.

5. Pendakwah adalah pewaris para Nabi.

Berdasarkan hadis riwayat Abu Dawud, at Tarmizi, an Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad dan dikatakan shohih oleh Ibnu Hibban dan Al Hakim. Rasulullah SAW bersabda: Para ulama adalah pewaris para nabi.

6. Penghuni langit dan bumi memohon ampun untuk para pendakwah.

Ini berdasarkan hadis riwayat at-Tarmizi daripada Abu Umamah dalam bentuk marfu':
"Sesunggunnya Allah, malaikatNya dan penghuni langit dan bumi sehinggalah seekor semut dalam lubangnya dan ikan paus dilaut, semuanya berselawat kepada orang yang mengajar manusia kebaikan"

Selawat daripada Allah adalah rahmat, daripada malaikat adalah permohonan ampun dan daripada hamba ALlah adalah doa. Kedudukan ini jarang sekali diperolehi kecuali oleh mereka yang berkecimpung dalam dakwah dan berjalan di jalan petunjuk, pembaikan dan penyampaian.

7. Ganjaran Pendakwah tidak terputus.

Muslim dan para Pengarang Kitab Sunan meriwayatkan daripada Nabi SAW, Baginda besabda "Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk, baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya. Tanpa mengurangkan ganjaran mereka sedikitpun"

Para pendakwah memperolehi kedudukan begini kerana mereka berjaya merubah akal dan jiwa manusia. Mereka membawa hidayah yang berjaya meperbaiki umat dan bangsa.

Ganjaran yang diperolehi tidak terbatas untuk peribadi mereka sahaja kerana menyampaikan perinsip dakwah, bahkan turut diperolehi oleh sesiapa sahaja yang menyebabkan mereka mendapat petunjuk dan menjadi baik.

8. Usaha para pendakwah memberi petunjuk adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Al Bukhari meriwayatkan daripada Ali k.r.m daripada Nabi SAW. Baginda bersabda " Demi Allah, Allah memberi petunjuk melalui kamu kepada seorang lelaki adalah lebih baik untuk kamu daripada kamu mempunyai humr an-Niam(unta merah - orang arab bermegah dengannya kerana keagungan dan nilainya yang tinggi)"

Dalam riwayat yang lain:

"Lebih baik untuk kamu daripada seluruh kawasan di mana matahari terbit dan terbenam"

Dapatkanlah Bisikan dari Ilahi dari sepertiga malam terakhir.