Sabtu, 2 Januari 2010

WAJIBKANLAH DIRI KITA SENTIASA BERADA DALAM HALAQAH ATAU USRAH




(KEMASKINI PADA 2 JANUARI 2010)
Kaata-kata Iman As Syahid Hasan Al Banna mengenai halaqah atau usrah iaitu

" Wahai saudaraku, sistem usrah sangat bermanafaat bagi kita dan berguna bagi da'wah. Dengan daya dan kekuatan dari Allah SWT, sistem ini akan mampu menghimpun kalangan anggota ikhwan yang tulus, memudahkan hubungan antara mereka, mengerahkan mereka kepada teladan atau mithali dalam da'wah, memperkukuhkan ikatan persatuan mereka dan mengangkat persaudaraan mereka dari tutur kata-kata dan TEORI ke tingkat perlaksanaan atau operasi"

Halaqah atau usroh adalah satu istilah yang ada hubunganya dengan dunia pendidikan, khususnya pendidikan atau pengajaran Islam(tarbiyah Islamiyah). Dalam halaqah individu dibentuk supaya menjadi manusia yang beriman dan beramal soleh. Manusia di cetak dengan Islam yang sebenarnya. Bukan Islam hanya pada nama atau ilmiyah sahaja tetapi Islam yang hidup dalam kehidupan. Di terjemah dan bergerak dalam kehidupan mereka. Akhlak mereka terbimbing, mempunyai jiwa yang rabbani yang tunduk dan patuh hanyasenya Allah SWT sahaja.

Mengapa ada yang sudah culas(tidak commited) dengan halaqah terutama individu yang duduk dalam landasan dakwah. Mungkin mereka sudah terjebak dengan perkara berikut:

1. Terjebak sebagai rutin kehidupan tidak jelas sebagai satu kewajipan dan tidak jelas halatuju.
2. Sibuk dengan aktiviti da'wah umum atau ammah yang lebih terserlah dan glamour dimata masyarakat.
3. Sibuk dan hanyut dengan kehidupan duniawi seperti dengan urusan bisness, karier dan tugas harian atau pelajaran masing-masing
4. Mungkin terpengaruh dengan bilangan yang ramai dan sudah rasa tidak penting lagi tentang tarbiyah hati.
5. Sudah merasai dan mendapat bisikan halus bahawa halaqah atau usrah tidak perlu lagi dalam kehidupan mereka.
6. Merasai sudah cukup ilmu dan tarbiyah yang dilalui.
7. Terjebak dengan zon selesa.

Wahai manusia, sahabat-sahabat ku, anak-anak dan pelajar-pelajar sekalian tanamlah dalam jiwa kita bahawa halaqah atau usroh itu adalah satu perkara yang wajib dalam kehidupan seorang mukmin berdasarkan perkara berikut:
1. Kaedah syarak iaitu "Tidak terlaksana yang wajib itu hanya melalui jalan itu maka jalan itu menjadi wajib".

Pembentukan daulah Islamiyah adalah wajib dan selagi tidak wujud maka menjadi satu kewajipan ke arah itu. Oleh itu segala jalan-jalan ke arah untuk melahirkan daulah Islamiyah adalah wajib di ikuti dan dilaksanakankan dan tidak akan terlepas tanggungan yang ada pada setiap individu. Kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti. Kalau kita cuai apakah jawapan kita?

2. Merupakan satu Sunnah Rasul sebab Rasulullah SAW sentiasa membina para sahabatnya dalam majlis zikir atau halaqah. Selama hidupnya Rasulullah SAW selalu membina halaqah samada di Mekah atau di Madinah.

Kita duduk dalam majlis halaqah atau zikir kita akan mendapat 4 perkara sebagaimana sabda Rasulullah SAW iaitu "SESUATU KAUM(KELOMPOK MANUSIA) TIDAKLAH BERKUMPUL DI SATU RUMAH(MASJID) DARIPADA RUMAH-RUMAH ALLAH, SAMBIL MEMBACA ALQURAN, SALING MEMPERBETULKAN BACAAN DAN MEMAHAMI KANDUNGANNYA, KECUALI AS SAKINAH(SATU MAKHLUK ALLAH TAALA YANG PADANYA TERDAPAT RAHMAT DAN KETENANGAN, SERTA DITEMANI OLEH PARA MALAIKAT) AKAN TURUN KEPADA MEREKA DAN MEREKA DISELUBUNGI OLEH RAHMAT, MEREKA JUGA DILINGKUNGI OLEH PARA MALAIKAT SERTA DISEBUT DAN DIPUJI OLEH ALLAH DIKALANGAN(PARA MALAIKAT) YANG ADA DISISINYA".

Ganjaran kita berhalaqah untuk zikrullah, kita akan dapat 4 perkara iaitu:

1. As Sakinah(satu makhluk Allah Taala yang padanya terdapat rahmat dan ketenangan, serta ditemani oleh para malaikat) turun keatas mereka.

Hadith Sohih Bhukari dan Muslim diriwayatkan daripada al Bara bin Azib RA katanya " Seorang lelaki sedang membaca surah Al Kahfi, disisinya terdapat seekor kuda. Lalunya sepotong awan meliputinya lalu berligar dan menghampirinya. Kudanya mula melarikan diri daripada awan itu. Setelah masuk waktu pagi beliau datang menemui Nabi SAW, lalu menyebut kejadian itu kepada Baginda SAW. Lantas Baginda SAW bersabda " Itulah as Sakinah, Ia turun kerana bacaan Al Quran"

2.Mereka diselubungi oleh rahmat.

Al Hakim meriwayatkan daripada Hadis Salman RA "Sesungguhnya beliau berada dalam suatu kumpulan yang sedang berzikir kepada Allah Taala. Tiba-tiba Rasulullah SAW lalu berhampiran mereka dan bertanya: Apakah yang telah kamu perkatakan? Sesungguhnya saya telah melihat rahmat turun keatas kamu, lalu saya ingin menyertai kamu"

3.Para malaikat melingkungi mereka.

Dalam hadis Abu Hurairah RA " Lalu para malaikat melingkungi mereka dengan sayap-sayap mereka sehingga sampai ke langit dunia"

4.Allah Taala menyebut perihal meraka kepada para malaikat yang disisinya.

Dalam Shohih Bukhari dan Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah dari Nabi Rasulullah SAW bersabda " Allah Azza wa jalla berfirman: Aku disisi sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya(dengan pengampunan, taufik, hidayah dan pemeliharaan) ketika dia menyebut dan mengingatiKu. Jika dia menyebutKu dalam satu kumpulan(orang beriman), Aku menyebutnya(dengan memujinya) dalam kumpulan(malaikat) yang lebih baik daripada kumpulan itu"

Halaqah/usrah perlu dirancang untuk diikuti seumur hidup(madal Hayah) oleh sesorang manusia. Hal ini tidak ada kata berhenti atau berihat dalam mempelajari Islam. Selagi nafas masih ada, mempelajari Islam tetap perlu dilakukan. Rasulullah SAW bersabda " Tuntulah ilmu mulai dari buaian sampai ke liang lahat". Yang berubah hanya tempat tinggal kita yang disesuai dengan kefahaman dan amalan terhadap Islam.

Oleh itu fikirlah sahabat-sahabat, ibu-ibu dan anak-anak sekalian di mana kita berada kita perlu wajibkan diri kita dan duduk dalam halaqah. Kita perlu kepada Islam, maka kita perlu kepada jemaah, maka kita perlu pada usrah/halaqah, inilah hubung kait kita dengan Islam. Adakah kita benar-benar komited dengan Islam seperti yang kita anuti?

Firman Allah Taala dalam surah Asy-Syura ayat 20 " Barang siapa mengkehendaki keuntungan di Akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barangsiapa mengkehendaki di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya(keuntungan dunia) tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat"